PKR memperoleh 21 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (10) dan PPBM (9).
PETALING JAYA: PKR Selangor mendapat kerusi DUN terbanyak untuk pilihan raya akan datang iaitu 21 kerusi.
Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim berkata, DAP pula memperoleh 16 kerusi diikuti Amanah (10) dan PPBM (9).
Selepas rundingan yang berlarutan sejak Januari, Izham memberitahu PKR akhirnya memperoleh DUN Paya Jaras walaupun pihaknya mahukan kerusi PAS itu.
Menurut Izham, Amanah terpaksa akur dengan kemahuan parti reformasi itu kerana memikirkan keadaan Pakatan Harapan jika PKR mahu meneruskan perbalahan.
“PKR desak juga nak kerusi itu. Kita akur tapi dalam proteslah. Malas nak bertekak lagi. Penatlah. Bertekak ini susah kita. Pimpinan Amanah nasional pun berpendapat sama…kita ‘move on’,” katanya.
Ditanya sama ada PKR akan meletakkan bekas pemimpin PAS, Mohd Khairuddin Othman, yang melompat ke PKR baru-baru ini di DUN Paya Jaras, Izham berkata: “Itu saya tak tahu, calon mereka putuskan sendiri. Kita hanya bincang pasal kerusi.”
Selain itu, PKR juga mendapat mendapat beberapa kerusi yang bagus melalui pertukaran kerusi.
“Saya bagi contoh, dulu PKR kalah di Kuang dan sekarang kerusi itu ditukar untuk Gombak Setia. Gombak Setia dulu Pakatan Rakyat menang. Kemudian, PKR tukar Batang Kali untuk Lembah Jaya, juga kerusi yang bagus,” katanya.
Sementara itu, Izham berkata DAP memperoleh pertambahan 1 kerusi iaitu DUN Dusun Tua. Beliau difahamkan DAP akan meletakkan seorang calon Melayu di kerusi itu.
Amanah akan membuat sidang media beberapa hari lagi bagi mengumumkan calon untuk Parlimen dan DUN di Selangor.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber PKR peroleh kerusi terbanyak DUN Selangor