KKM arah 2 produk sardin China ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing

Sejak kebelakangan ini viral gambar dan video di media sosial sebuah produk makanan tin ikan sardin yang didakwa mengandungi ulat mencetuskan kebimbangan para pengguna di negara ini, lapor Harian Metro.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa dua produk sardin yang diimport dari China iaitu Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC telah diarahkan ditarik balik dari pasaran kerana dua produk sardin tersebut mengandungi bendasing iaitu sejenis cacing, nematoda daripada Genus Anisakis spp. 
Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada dua syarikat pengimport sardin dari China iaitu Fujian Yongfa Co. Ltd dan Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd kerana produk yang diimport tidak mematuhi Akta Makanan 1983. 
"Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.
"Pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran sentiasa dilakukan dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil," katanya.
Katanya, KKM mengambil maklum laporan yang tular di laman sosial berkaitan cacing mati ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.
"Laporan itu menyatakan bahawa pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran selepas pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China," katanya.
Beliau berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.


Sumber KKM arah 2 produk sardin China ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing

Post a Comment

Previous Post Next Post