KUALA LUMPUR, 11 April ― Kalau berkunjung ke Kuala Perlis, jangan terkejut apabila anda melihat orang di sana makan laksa dengan pulut udang.
Menurut seorang peniaga di sana Su Nor, 68, cara makan begitu sudah menjadi amalan biasa warga negeri Indera Kayangan.
“Memang sejak dulu lagi orang Perlis makan macam itu, tidak pasti dari mana sejarahnya, tapi sedap, kuah laksa jadi lebih pekat.
“Aromanya [kuah laksa] makin naik apabila dimakan dengan pulut,” katanya, pemilik Laksa Kak Su kepada ProjekMMO hujung bulan lalu.
Menyediakan hidangan itu, gerainya di Medan Niaga Kuala Perlis sentiasa menjadi tumpuan ramai dari 11.30 pagi hingga 7.30 malam.
Pelanggannya bukan sahaja dari Perlis, malah seluruh negara. Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga pernah merasai keenakannya.
Dibuka sejak 2005, gerai ini menyediakan laksa mereka yang dibuat sendiri.
Berbeza dengan laksa Pulau Pinang, laksa Perlis kuahnya lebih pekat kerana lebih banyak ikan digunakan semasa pembuatannya.
Laksa Kak Su mendapat ikan daripada pembekal berhampiran jeti Kuala Perlis. Kira-kira 50 kilogram ikan selayang digunakan setiap hari.
Sepinggan laksa biasa berharga RM4, dengan separuh telur rebus. Dijual RM5 sepinggan, laksa istimewa isinya lebih banyak dengan sebiji telur rebus.
Sebiji pulut udang pula berharga 50 sen. Hampir 400 biji pulut udang terjual sehari, kata Su Nor ketika dihubungi.
Dibuka setiap hari kecuali Selasa, ia terletak tidak jauh dari Maybank dan Pos Malaysia Kuala Perlis.
Lebih mudah taip Kak Su Laksa di aplikasi Waze dan Google telefon anda.
Tidak memiliki Facebook, mereka boleh dihubungi di 012 550 0365 atau 014 248 3133 untuk tempahan atau sebarang pertanyaan.
Sumber Mai makan laksa Perlis campur pulut udang