Mampukah Menara Kuantan dijayakan? — Lee Chean Chung

20 APRIL — Sebuah menara yang bernama Menara Kuantan (Mercu Teruntum) mula dibina pada 3 Ogos 2017 di tebing Sungai Kuantan. Selari dengan Rancangan Tempatan Daerah Kuantan, menara setinggi 180 meter dijangka siap pada Julai 2019.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kos pembinaan serta kos operasi menara tersebut. Mengikut jawapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang diterima oleh saya, kos pembinaan Menara Kuantan berjumlah RM40.6 juta.

Unjuran kos tahunan pula sebanyak RM2 juta setahun, iaitu lebih kurang RM170,000 sebulan. Anggaran pendapatan tahunan adalah RM3.8 juta. Persoalannya adakah menara tersebut dapat mengutip pendapatan sebanyak itu?

Selain daripada hasil sewaan, menara tersebut perlu menarik ramai pelancong bagi menampung kos operasi serta menjana pendapatan. Andaikan separuh daripada pendapatan datang daripada kunjungan pelancong, Menara Kuantan perlu menarik lebih kurang 11,000 pengunjung sebulan bagi mencapai sasaran pendapatan tersebut (mengikut harga tiket Menara Alor Setar).

Mengikut statistik Tourism Pahang, Kuantan hanya menarik 69,556 pelancong asing pada tahun 2016.

Adakah Kerajaan Umno dan Barisan Nasional mampu menjayakan projek Menara Kuantan tersebut dengan cabaran ekonomi yang makin mendesak dan kemasukan pelancong yang tidak memuaskan?

Penjelasan amat diperlukan bagi menjawab keraguan rakyat.

Sekiranya Pakatan Harapan memerintah Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan, secara dasarnya pembangunan akan ditujukan kepada memperbaharui kemudahan asas Kuantan. Inisiatif rancangan pembaharuan bandar (urban renewal) yang menghidupkan balik kedai-kedai dan bangunan lama Kuantan akan dijalankan.

Pemberian ruang kepada rakyat amnya dan warga Kuantan khasnya untuk turut serta dalam pengurusan/pengoperasian bangunan-bangunan tersebut akan diutamakan.

Kuantan ada ramai bakat, seniman, artis dan arkitek yang bukan sahaja mampu menghidupkan semula Kuantan, bahkan jadikan Kuantan sebuah bandar yang unik dan mempunyai corak serta sejarah tersendiri. Pembangunan adalah baik dan memang dialu-alukan, tetapi pembangunan ala mega projek hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja dan tidak menggalakkan penglibatan rakyat dalam projek-projek sedemikian.

* Lee Chean Chung adalah penyelaras Pakatan Harapan DUN Semambu.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.



Sumber Mampukah Menara Kuantan dijayakan? — Lee Chean Chung

Post a Comment

Previous Post Next Post