Manchester United musnahkan harapan Manchester City

HASRAT Manchester City muncul juara Liga Perdana Inggeris lebih awal dinafikan Manchester United apabila pasukan itu tewas 3-2 dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Aksi di stadium Etihad itu menyaksikan Paul Pogba berjaya menyumbat dua gol pada babak kedua, seterusnya Chris Smalling menjaringkan gol ketiga, mengesahkan kemenangan United.

Babak pertama perlawanan, The Citizens tampak yakin mampu memastikan kejuaraan menjadi milik mereka buat kali kelima dalam sejarah, dan ketiga dalam tempoh tujuh musim, selepas mendahului 2-0 menerusi jaringan Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan.

Tuan rumah selesa di babak awal perlawanan apabila Kompany berjaya menanduk masuk hantaran silang Leroy Sane minit ke-25 aksi.

Nyata tidak puas, anak buah Pep Guardiola menambah jaringan lima minit berselang dengan Gundogan berjaya melakukan aksi menarik memperdaya penjaga gol David de Gea, mengukuhkan kedudukan The Citizens.

Bagaimanapun, babak kedua perlawanan bertukar sengit apabila Pogba berjaya bangkit menyelamatkan The Red Devils selepas menerobos dua gol dalam tempoh dua minit berselang.

Pogba menyempurnakan umpanan Ander Herrera bagi menghasilkan gol pertama United minit ke-53 sebelum terus bangkit menyamakan kedudukan dengan menanduk masuk gol kedua menerusi kanan gawang dua minit kemudian.

Terikat 2-2, Smalling nyata tidak mensia-siakan hantaran Alexis Sanchez pada minit ke-69 menyaksikan United terus unggul dalam mematahkan misi pihak lawan.

Walaupun tewas, City kini tetap mengungguli tangga teratas liga dengan kelebihan 13 mata di depan United dengan berbaki enam perlawanan.

City bagaimanapun tetap boleh memastikan kejuaraan menjadi milik mereka sekiranya menang dalam pertemuan bertemu dengan Tottenham Hotspur di Wembley pada Sabtu depan.



Sumber Manchester United musnahkan harapan Manchester City

Post a Comment

Previous Post Next Post