Manifesto BN 2018 untuk PRU14 adalah yang terbaik dalam sejarah - Salleh

Manifesto BN bagi PRU14 yang menggariskan 364 inisiatif dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi adalah yang terbaik dalam sejarah.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, manifesto setebal 220 muka surat itu adalah satu dokumen komprehensif kerana menjanjikan inisiatif-inisiatif untuk dilaksanakan termasuk memberi perhatian kepada permintaan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Malam tadi, saya turut berada di Stadium (Axiata Arena), Bukit Jalil mendengar pengumuman  pengerusi BN memperkenalkan Manifesto BN dalam menghadapi PRU 2018.
Reaksi segera saya setelah mendengar ucapan tersebut ialah agendanya realistik, manifestonya terbaik, komprehensif dan praktikal untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan di blog  sskeruak.blogspot.my, hari ini.
Salleh yang juga Bendahari Umno menyifatkan tepukan dan sorakan anggota parti di Axiata Arena  malam tadi adalah sorakan keyakinan rakyat kepada manifesto BN kerana BN terbukti telah mampu menunaikan  99.4 peratus janjinya dalam PRU 2013 yang lalu.
Beliau turut teruja dengan cara Najib selaku pengerusi parti membentangkan manifesto BN berbanding dengan cara sebelumnya iaitu membentangkannya dengan mengangkat keperluan setiap negeri secara adil dan menyeluruh.
Dalam manifesto bertajuk 'Bersama BN Hebatkan Negaraku', antara lain BN menjanjikan komitmen berikut: memberi tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan sasar, menurunkan had kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit, mengurangkan kos langganan jalur lebar 50 peratus dan menggandakan kelajuan.
Manifesto itu juga turut mengangkat peningkatan bantuan RM500 untuk bayi baru lahir di bawah program ADAM50, tujuh hari cuti tahunan bagi golongan ibu untuk menjaga anak-anak yang sakit, memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis, memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 berdasarkan konsensus, menghapuskan harga berbeza untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak, dan memperkasa komuniti Dayak dan Kadazandusun.
“Setelah menelitinya, saya menilai manifesto BN adalah terbaik dan berjaya menenggelamkan manifesto PH (Pakatan Harapan).
Dengan manifesto sebaik ini, maka ini membuktikan BN adalah parti yang menitikberatkan kepentingan rakyat bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” kata Salleh.
Manifesto PRU14 menawarkan 14 teras iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal. - Bernama


Sumber Manifesto BN 2018 untuk PRU14 adalah yang terbaik dalam sejarah - Salleh

Post a Comment

Previous Post Next Post