Rico bersama Neelofa. (Pic: ricorinaldi.com)
Bagi Rico Rinaldi, dia mempunyai alasan tersendiri memperkenalkan Neelofa sebagai Face of Summeraya 2018. Pemilihan itu sekali gus menjadikan Rico sebagai pereka fesyen pertama negara yang berjaya menyunting Neelofa untuk menjadi wajah rasmi sebuah jenama fesyen. Neelofa dipilih berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diraih sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.
"Bukan hanya popular malah Neelofa berjaya dalam pelbagai lapangan yang diceburi terutama lakonan dan pengacaraan. Sumbangannya kepada negara juga sangat membanggakan.
"Saya mahu mencari selebriti yang boleh melambangkan koleksi tersendiri, berbeza, unik dan berketerampilan. Pemilihan Neelofa juga berdasarkan penghijrahan beliau ke arah yang lebih positif dan optimistik. Ini juga cara saya untuk meraikan usia 10 tahun dalam industri fesyen.
“Tambah pula saya mencari muse yang bertudung, jadi Neelofa dilihat sesuai," katanya.
Menurut Rico, dia mendekati Neelofa menerusi direct message di Instagram.
“Saya tanya dia mahu tak jadi wajah Summeraya saya dan dia bersetuju. Senang bekerjasama dengannya. Dia pun mengikuti perkembangan saya sebelum ini dan mungkin itu juga yang dia kata yes untuk kolaborasi ini.
“Dia sendiri menyifatkan saya sebagai seorang yang artistik. Jadi ada cerita di sebalik semua ini sekali gus menjadikan penyebab jalinan kerjasama ini,” katanya.
Menerusi koleksi Summeraya 2018, Rico memperkenalkan 46 rekaan sempena koleksi Summeraya 2018. Interpretasi Aidilfitri tahun ini diterjemahkan penuh idealistik olehnya.
Tahun 2018 melakar sejarah apabila Rico Rinaldi mengeluarkan koleksi Summeraya dalam skala paling besar untuk Ready-To-Wear, Bespoke dan Pre-Ramadan.
Summeraya 2018 merupakan edisi ketujuh koleksi khas busana Aidilfitri yang dikeluarkan Rico Rinaldi sejak 10 tahun berkecimpung dalam bidang fesyen.
“Summeraya 2018 menghimpunkan semula rekaan popular dan terbaik sepanjang 10 tahun Rico Rinaldi bertapak dalam industri fesyen. Sudah pasti ia meletakkan penanda aras baru dalam rekaan busana Aidilfitri,” katanya.
Rico juga buat pertama kali mereka pakaian untuk lelaki.
“Sebenarnya sebelum ini ramai yang tanya kenapa saya tak buat baju raya untuk lelaki. Jadi saya lihat 2018 sesuai untuk meraikan sedekad di dalam industri fesyen dengan hadirnya koleksi baju lelaki ini.
“Cuma saya tak berani design yang pelik untuk koleksi lelaki ini. Saya lebih praktikal dalam hal ini. Baju lelaki ini juga bukan hanya boleh dipakai untuk musim raya tetapi boleh digayakan untuk acara kasual juga,” katanya.
Semua koleksi Summeraya 2018 boleh didapati di Butik Rico Rinaldi di Plaza Damas dan Bangi Sentral. Selain itu, Summeraya 2018 dijual di Physicon Malaysia (@physiconmalaysia) dan Modvier Bangsar.
Sumber Neelofa Wajah Koleksi Summeraya 2018 Rico Rinaldi