Peluang Chelsea ke UCL semakin tipis

BERBAKI enam perlawanan lagi musim ini, Chelsea diramal sukar untuk mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

The Blues ketinggalan 10 mata di belakang Liverpool dan Tottenham Hotspur masing-masing di tempat ketiga dan keempat Liga Perdana Inggeris (PL), iaitu empat slot automatik bagi kuota bagi liga tersebut.

Ramai penganalisis bola sepak berpendapat harapan Chelsea untuk layak ke UCL amat tipis sekali.

Anak buah Antonio Conte itu perlu mengharapkan kejatuhan pasukan Liverpool yang mempunyai lima perlawanan yang perlu diharungi untuk musim ini manakala Spurs enam lagi perlawanan.

Bagaimanapun Chelsea perlu terus berjuang mencari kemenangan memandangkan mereka masih lagi mampu mengejar kedua-dua pasukan itu dengan baki mata yang masih boleh dikumpul musim ini.

Seri 1-1 dengan West Ham lewat malam tadi di Stamford Bridge bermakna the Blues menghadapi tugas yang sukar untuk merampas salah satu tempat ke UCL.

Chelsea bagaimanapun masih mempunyai harapan untuk menjulang satu piala musim ini iaitu Piala FA.

Skuad the Blues akan menentang Southampton dalam PL pada Sabtu ini dan separuh akhir Piala FA pada 22 April.

Namun bagi pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta, kejayaan menjulang Piala FA tidak memadai buat skuad itu yang sepatutnya layak ke UCL.

“Piala FA mungkin sebuah kejohanan yang besar dengan sejarahnya yang tersendiri namun ia tidak memadai buat kami. Ia tidak akan menyelamatkan kami musim ini” kata Azpilicueta.

Nasib Conte pula menjadi tanda tanya peminat dan pemerhati bola sepak yang dapat merasakan pengendali dari Itali itu akan dipecat selepas musim ini tamat.

Sebelum ini, bekas pengurus, Jose Mourinho dipecat selepas juara bertahan PL itu menamatkan saingan di tangga ke-10.



Sumber Peluang Chelsea ke UCL semakin tipis

Post a Comment

Previous Post Next Post