Himpunan bertemakan "Menggenggam Langit Biru" akan diadakan Ahad ini dan dianjurkan Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat).
Presiden Muafakat Datuk Rizal Mansor berkata himpunan itu juga dilihat menjadi antara medan pertemuan terbesar pemimpin dan warga agensi itu.
Rizal juga objektif himpunan itu antara lain bagi menghimpunkan anak-anak MARA yang berjaya, sekali gus dapat memperlihatkan hasil disumbangkan MARA selama ini, selain bagi mendorong untuk meningkatkan serta memperkasakan lagi agensi berkenaan setanding peredaran zaman."Lantaran itu kita pilih tema "Menggenggam Langit Biru", kerana selepas ini kita mahu MARA melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang aeroangkasa pula," katanya.
Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Perdana Menteri berkata selama ini banyak sumbangan dan bantuan diberikan MARA dalam bidang pendidikan yang secara tidak langsung membantu anak-anak MARA melakar kejayaan dalam karier masing-masing.
Berlangsung di hangar Kampus Subang Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL-MIAT) bermula 3 hingga 6 petang, himpunan itu dijangka dihadiri kira-kira 5,000 peserta.
Ia terbuka kepada semua anak-anak MARA termasuk warga Muafakat, Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (Ansara), pendidik serta warga kerja MARA di samping ibu bapa pelajar tajaan.
Ibu bapa dan bekas pelajar serta usahawan MARA turut dipelawa hadir bagi memeriahkan acara kerana selain berkesempatan berkongsi kegembiraan serta bertemu pemimpin nombor satu negara, ia juga dapat menjadi medan mengeratkan hubungan.
MARA, sebuah agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya.
Tujuan penubuhannya antara lain membangunkan usahawan berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikan ekuiti dan memudahkan sistem penyampaian.
Sumber Perdana Menteri temui warga Mara dalam himpunan Saya Anak Mara