Saya sudah letih 'disuap' kerana ia hanya melemahkan - anak muda

PELBAGAI inisiatif diperkenalkan kerajaan khusus untuk golongan belia dan anak muda Malaysia dalam usaha memperkasakan generasi yang bakal meneraju negara pada masa hadapan.

Para kepimpinan negara mengakui ini zaman yang jauh berbeza dari apa yang dilalui mereka ketika mereka muda, dan suara golongan Gen Y, Gen Z dan Millenials ini perlu didengari.

Lantas diperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang telah memungut 60,000 aspirasi unik daripada kira-kira 2 juta anak muda yang akan menjadi rujukan dalam pembuatan dasar pada masa mendatang.

Secara amnya, coretan pada Kanvas Belia TN50 itu memperlihatkan keinginan anak muda untuk dibantu, dimudah cara dan laluan untuk mereka menjalani kehidupan sebagai rakyat negara ini.

Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, mereka mahu peluang pekerjaan mereka terbela, gaji yang setimpal dengan kerja dan selaras kenaikan harga barang, dan banyak lagi.

Di mana sahaja di seluruh pelusuk negara ini, boleh kata aspirasinya kurang lebih sama. Baik yang tinggal di bandar, mahupun di luar bandar, hati anak muda seakan terhubung nyata dengan kecanggihan teknologi bernama internet.

Namun Aqib Jamal mengimpikan sesuatu yang lebih besar untuk generasinya. Baginya, suara-suara yang dilontarkan itu seakan ‘kemanjaan yang terus inginkan belaian’.

Anak muda ini melihat bahawa sistem dan budaya yang diamalkan dalam negara pada hari ini hanya akan menghasilkan generasi yang lemah. Dan dia sudah letih ‘disuap’.

“Niat itu bagus, memang kita mahu rakyat diringankan beban dan anak muda dimudahkan jalan, tetapi sampai bila kita ini menjadi rakyat yang menunggu-nunggu, meminta-minta, mengharap-harap?

“Apa yang berlaku sekarang adalah kita semua ‘diberi ikan’. Begitulah. Jika terus ‘diberi ikan’, sampai bila sehingga kita tahu yang kita ini ‘boleh beli joran, cari umpan, dan belajar dapatkan ikan dengan sendiri’?

Aqib berusia 27 tahun tinggal di Alor Keroh. Dia berasal dari Muar, tetapi berhijrah ke banyak tempat mengikut bapanya yang berkhidmat sebagai seorang pegawai Kastam, dan akhirnya kini bermastautin di Melaka.

Dia merupakan pemegang ijazah sarjana muda jurusan arkitek, tetapi sehingga kini masih menunggu panggilan daripada beberapa firma yang telah dihantar resumé.

Dalam mengisi penantian itu, dia meneroka cabang bidang seni yang diminatinya dengan membuat kerja-kerja seperti melukis mural, mereka grafik dan hiasan untuk premis kopi rakannya dan banyak lagi kerja yang memberikannya rasa bahagia pada masa sama dapat membayar bil-bil bulanan yang perlu dilangsaikan.

Bagi Aqib, menjadi muda dan dewasa bukanlah sekadar dapat bekerja, memperoleh gaji, boleh membeli segala keinginan yang dapat memuaskan hati sendiri. Menjadi dewasa adalah memikul tanggungjawab untuk bersama membentuk masyarakat yang berbudaya dan berpemikiran tinggi.

Sistem hari ini dilihatnya tidak memperkasakan potensi sebenar bakat yang dikurniakan tuhan kepada setiap individu. Ini bukan satu keadaan yang sihat sekiranya kita mahu menjadi bangsa dan negara yang hebat.

“Dari dulu kita dibiasakan untuk ikut sahaja dengan keseragaman yang ditetapkan, maksudnya kita disuruh dan dimomokkan bahawa ia adalah jalan yang paling betul.

“Apabila dewasa, kita dilalaikan dengan hiburan, perhatian di media sosial, yang mana semua itu menjadi ‘escapism’ atau kita mahu melarikan diri dan melupakan seketika benda-benda yang lebih kritikal yang sedang berlaku dalam negara."

Atas sebab musabab itu, dia yang sebelum ini mempersetankan sistem demokrasi negara kerana skeptikal terhadap sistem itu, kini melihat bahawa tiada cara yang lebih baik daripada melibatkan diri secara langsung dengan mendaftar sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Dia mengharapkan perubahan, tidak kira siapa pun yang bakal diberi mandat, dia mahukan perubahan berlaku supaya Malaysia menjadi satu negara bangsa yang benar-benar hebat, tidak hanya dengan wayang pada pencapaian atas kertas tetapi pada hakikatnya cara fikir masih di tahap rendah.

“Kali ini saya putuskan untuk mengundi kerana saya percaya, selagi masih ada org macam saya yang masih mahu ‘marginalise’ atau mengecualikan diri daripada sistem ini, selagi itu perubahan tak dapat dilahirkan.

“Sampai bila kita nak lari? Kita tidak perlu jadi ‘rebel’ atau pemberontak sekiranya mahu membuat ‘revolusi’. Kita ini orang Melayu, Islam. Ada santunnya."

Dan dia percaya, segala gerakan menuju kebaikan bermula dari diri sendiri. Getaran positif itu harus dimulakan supaya akhirnya akan mempengaruhi orang di sekelilingnya dan mencapai seluruh umat negara ini.

“Kita mahu nasib kita baik, kita yang kena usaha sendiri,” tegasnya.



Sumber Saya sudah letih 'disuap' kerana ia hanya melemahkan - anak muda

Post a Comment

Previous Post Next Post