Memetik laporan BH online, Siti memberi amaran tindakan tegas akan diambil jika pengendali blog terbabit berdegil enggan memadam entri yang tiada kena mengena dengan dirinya, sebaliknya mengundang kekeliruan ramai.
"Assalamualaikum semua. Ingatkan waktu berpantang bolehlah berehat, tetapi tidak mengapa. Saya perlu jelaskan sesuatu supaya orang tidak keliru dengan berita palsu ini.
"Ia ada dalam sebuah blog lain dengan tajuk lain. Tetapi apabila kita klik pautan, keluar berita yang memaparkan wajah saya dengan ejaan Sita Nurhaliza.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya berita itu (jika dirujuk pada saya) dan tidak pasti tujuan pihak yang menulis berita palsu itu.
"Namun, menggunakan wajah dan nama Nurhaliza mengundang pertanyaan mengenai kesahihan berita terbabit," katanya pada entri yang dikongsi di Instagram.
Sehubungan itu, Siti mahu pihak yang membuat berita palsu itu segera memadamkan watak dan namanya seperti tertera dalam petikan.
"Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang," katanya.
Kenyataan tegas Siti dimuat naik menerusi entri yang dikongsi di Instagram rasminya, semalam. Entri itu memaparkan foto keratan blog yang kononnya dipetik daripada akhbar New Straits Times (NST).
Dalam tajuk berita yang kononnya ditulis wartawan NST itu, individu bernama Sita Nurhaliza disaman selepas menggunakan maklumat secara tidak sah untuk menjana keuntungan.
Sumber Siti Beri Amaran, Desak Blog Padam Entri Berita Palsu