Tak ada SPM pun boleh berjaya: Aiman Tino

BIARPUN sedang meraih populariti dan kerjaya seninya berjalan dengan lancar, penyanyi Aiman Tino tidak pernah menjadikan ia sebagai sesuatu yang menghalang hasratnya untuk sambung belajar.

“Saya memang nak sambung belajar dari dulu lagi, cuma sebelum ini kerjaya seni baru bermula dan saya sibuk dengan pelbagai aktiviti dan rutin yang perlu dijalani.

“Alhamdulillah sekarang semua dah OK dan mungkin inilah waktu terbaik untuk saya ambil peluang sambung belajar sebagaimana yang pernah saya katakan sebelum ini.

“Insya-ALLAH, saya akan sambung belajar dalam bidang perniagaan di salah sebuah kolej di Shah Alam pada tahun ini,” kata Aiman kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Aiman ketika diminta mengulas tentang pendirian penyanyi Ismail Izzani yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana beranggapan ia bukanlah penentu kejayaan seseorang, mengakui turut besetuju dengan pandangan tersebut.

“Saya akui SPM memang penting, terutamanya apabila kita nak melanjutkan pelajar ke peringkat lebih tinggi tetapi ia bukanlah kayu ukur atau penentu kejayaan dalam hidup seseorang selepas itu.

“Saya melihat contoh di depan mata di mana ada kalangan kawan-kawan saya tidak mempunyai SPM tetapi berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing.

“Bagi saya, apa yang penting di sini adalah usaha atau tahap kerajinan kita nak majukan diri dengan cara yang bagaimana,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Aiman tidak lama lagi bakal melancarkan produk minuman kesihatannya di bawah jenama Mano yang juga merupakan singkatan kepada namanya sendiri.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, produk minuman yang dikenali dengan nama Jus Mano ini akan dilancarkan pada 8 April ini.

“Sebenarnya ‘Mano’ adalah nama singkatan daripada nama saya sendiri iaitu Aiman Tino, namun apabila ia disebut oleh peminat-peminat cilik nama saya diringkaskan jadi Mano dan dari situlah saya dapat idea untuk menggunakan nama tersebut untuk produk jus saya nanti,” jelasnya.



Sumber Tak ada SPM pun boleh berjaya: Aiman Tino

Post a Comment

Previous Post Next Post