'Wi Gok Sekali', kempen BN rayu pengundi Kuala Terengganu

Ketua Umno Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi ketika menyampaikan bantuan kepada penerima di DUN Ladang 23 April 2018. — Foto ihsan FacebookBN LadangKetua Umno Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi ketika menyampaikan bantuan kepada penerima di DUN Ladang 23 April 2018. — Foto ihsan FacebookBN Ladang

KUALA TERENGGANU, 24 April — Meskipun dikuasai pembangkang selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), BN sebagai kerajaan yang memerintah negeri ini, tidak  sesekali ‘menganaktirikan’ bandar raya  pesisir pantai itu daripada arus pembangunan.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata tidak mahu terus bernostalgia dengan kekalahan itu, kerajaan BN tetap gigih membawa satu persatu pembangunan ke Parlimen itu selaras dengan slogan kerajaan BN di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman – Transformasi Terengganu Baharu.

Satu demi satu projek berimpak tinggi berjaya dibawa masuk termasuk projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC), jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang akan membuka beribu peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya golongan muda.

Katanya Pusat Transformasi Bandar (UTC) diwujudkan di Paya Bunga Square, pada Jun 2016 yang memberi faedah kepada kira-kira 600,000 penduduk tempatan menerusi perkhidmatan yang disediakan oleh 29 agensi persekutuan, 20 badan kerajaan dan dua agensi swasta.

Selain itu, kira-kira 2,000 unit rumah di bawah projek perumahan rakyat  (PPR) telah dibina oleh kerajaan negeri di beberapa lokasi sekitar Kuala Terengganu seperti PPR Padang Hiliran dan Cherong Binjai.

Mohd Sabri yang juga Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, berkata kerajaan BN turut prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup yang menghimpit rakyat dengan menyalurkan tidak kurang daripada 20 jenis bantuan dan dana.

Calon bagi kerusi DUN Ladang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkata: “Bantuan itu seperti dana raya RM400, bantuan dana remaja RM200, bantuan bulanan ibu tunggal, OKU dan warga emas, bantuan kewangan kepada pelajar lepas SPM, STPM untuk ke pusat pengajian tinggi dan bantuan sagu hati RM500 kepada pelajar cemerlang UPSR, PT3 , SPM dan STPM.

“Lebih manis lagi, perkahwinan bagi golongan muda yang layak diberikan secara percuma  manakala golongan duda dan janda pula mendapat bantuan sehingga RM1,000 jika ingin berkahwin semula,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi persekutuan seperti Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut mewujudkan Pasar Jualan Sentuhan Rakyat di Parlimen Terengganu sebagai satu inisiatif membantu rakyat mendapat barangan keperluan harian dengan tawaran harga yang lebih rendah.

“Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat ‘Wi Gok Skali’ yang pertama kali diadakan pada 24 Februari itu dikunjungi kira-kira 8,000 orang…dan saya masih ingat lebih 1,000 kilogram ayam bulat berjaya dijual selepas ditawarkan kepada pengunjung dengan harga RM4 sekilogram.

“Inisiatif seperti ini akan kami laksanakan bukan sahaja di DUN Ladang, malah akan dijadikan program bulanan di setiap kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu jika BN dipilih oleh 100,000 pengundi Parlimen ini pada PRU14 kelak,” katanya.

Justeru katanya, rakyat diharap dapat menilai semula siapakah sebenarnya yang lebih layak ​​​​​​ ‘menjaga’ mereka di Kuala Terenganu ini, adakah wakil rakyat pembangkang yang dipilih mereka sebelum ini atau BN yang sudah pasti tanpa henti mencurahkan bakti siang dan malam memenuhi keperluan rakyat.

“Sebab itu kami di Parlimen Kuala Terengganu ini menggunakan slogan “Wi Gok Sekali’ yang bermaksud bagilah peluang sekali ni kepada BN mengambil alih Kuala Terengganu. Insya-Allah, kami tidak akan jadi seperti wakil rakyat lima tahun sekali seperti di pihak sana..yang dilihat gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat kawasan ini, kemudian lima tahun sekali ceramah sana sini dengan lori kecilnya.

“Mungkin beliau rasa sebab kerajaan negeri dikuasai BN maka menggunakan alasan ‘tiada kuasa’ untuk memberikan komitmen serius kepada masyarakat.

“Sebab itu kepimpinan BN terpaksa ambil alih tugas wakil rakyat yang gagal ini...hanya BN yang faham tuntutan rakyat Kuala Terengganu dan yang bertungkus lumus mengambil alih tugas wakil rakyat ini,” katanya.

Sementara itu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata sudah tiba masanya rakyat Kuala Terengganu mendapat lebih lagi perhatian berbanding ketika ia ditadbir wakil rakyat pembangkang.

“Pembangkang selama lima tahun hanya pandai kritik tapi tidak dapat menyalurkan hasrat rakyat ke saluran-saluran yang sepatutnya kepada kerajaan persekutuan. 

“Ini pasti berbeza sekiranya calon BN diberi peluang pada PRU kali ini…lebih banyak isu kecil dan besar yang melingkari rakyat boleh diselesaikan secara lebih berkesan dan cepat,” katanya.

Wan Nawawi yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14 ini turut memberi jaminan bahawa akan memanjangkan prestasi rekod beliau ketika berkhidmat dalam kerajaan negeri kepada rakyat Kuala Terengganu.

“Insya-Allah, saya bersandarkan kepada khidmat baik saya semasa menjawat jawatan kerajaan akan dipanjangkan kepada rakyat di Parlimen ini. Sudah tentu kami akan mendapat perhatian yang lebih baik sekiranya Kuala Terengganu diwakili Anggota Parlimen BN kelak,” katanya ketika dihubungi.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon PAS, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad (kini anggota Parti Amanah Negara) mengalahkan calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong dan calon Bebas, Maimun Yusof.

Tiga DUN dikuasai PAS, iaitu Wakaf Mempelam (Mohd Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tengku Omar) dan Batu Buruk (Syed Azman Syed Ahmad) manakala DUN Bandar dimenangi Parti Keadilan Rakyat (Azan Ismail). — Bernama



Sumber 'Wi Gok Sekali', kempen BN rayu pengundi Kuala Terengganu

Post a Comment

Previous Post Next Post