Datuk Seri Azmin Ali dijangka dicabar empat calon, termasuk adiknya sendiri Azwan dan bekas aktivis PKR Kapar. — Foto oleh Yusof Mat Isa
KUALA LUMPUR, 24 April — Selain musuh tradisi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dicabar bekas ahli PKR di kerusi negeri.
Bekas ketua Angkatan Muda PKR Kapar mengumumkan keluar parti untuk mencabar menteri besar itu Di Bukit Antarabangsa, lapor Berita Harian.
Selain adik Azmin, Ahmad Kamarudin yang hilang kepercayaan kepada PKR ingin bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Bekas pengacara sensasi Azwan Ali, yang tidak sebulu dengan abangnya, hari ini dilaporkan mahu menggunakan logo gajah sebagai calon Bebas di situ.
BN mencalonkan Dr Salwa Yunus untuk mencabar Azmin semalam, sementara PAS minggu lalu mengumumkan Syarifah Hazlizah Syed Ariffin di kerusi itu.
Jika menjadi kenyataan, kerusi ini menyaksikan persaingan lima penjuru, berbeza hanya dua penjuru pada dua pilihan raya lepas.
Dalam sidang media Ahmad tadi, presiden PRM Ariffin Salimon dilaporkan mengesahkan partinya akan meletakkan bekas aktivis PKR di situ.
Ahmad juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok berhubung dakwaan salah guna kuasa Azmin.
Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, menang 4,044 undi pada 2013, meningkat lebih 2,500 undi berbanding pilihan raya lima tahun sebelumnya.
Bukit Antarabangsa satu daripada dua kerusi bawah parlimen Ampang yang dipegang ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dengan kelebihan 13,278 undi.
Sumber Lebih meriah, makin ramai mahu cabar MB Selangor