1 kes baru rabies di Sarawak

Ketua pengarah kesihatan berkata, seorang kanak-kanak lelaki warga asing berumur 3 tahun 9 bulan kini dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak.

KUCHING: Satu lagi kes jangkitan rabies pada manusia dikesan, menjadikan sehingga kini 10 jangkitan ke atas manusia disahkan sejak wabak rabies atau penyakit anjing gila mula diisytihar di Sarawak Julai tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 8 individu meninggal dunia, 1 kes dibenarkan keluar hospital dan dirawat di rumah, manakala kes terbaru ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga asing berumur 3 tahun 9 bulan, kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, kanak-kanak itu memasuki Kuching bersama ibunya pada September 2017 menggunakan pas lawatan sosial, dan hasil siasatan mendapati dia digigit anjing liar di kediaman mereka di Kampung Sandong, Kuching, awal April lepas.

“Kanak-kanak ini dibawa ke klinik kesihatan kerajaan berhampiran, di mana luka gigitan dicuci dan suntikan anti-tetanus (ATT) diberikan dan dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa keluarganya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HUS, pada 3 Mei lepas kerana mengalami demam panas selama 5 hari serta menunjukkan tanda kegelisahan dan kekeliruan.

“Semasa di wad, kes (kanak-kanak itu) mula menunjukkan tanda-tanda klinikal rabies seperti hydrophobia dan kesukaran menelan. Sampel klinikal kes sudah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan pada 8 Mei 2018 dan disahkan positif rabies.”

Beliau berkata, sehingga 8 Mei lalu, terdapat 30 kawasan di 5 bahagian di Sarawak diisytihar sebagai kawasan jangkitan rabies oleh kerajaan Sarawak; iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (4 kawasan), Samarahan (3 kawasan) dan masing-masing satu kawasan di Sri Aman dan Sarikei.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menegaskan kejayaan mencegah jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies dalam kalangan anjing, di mana orang ramai juga perlu memainkan peranan membawa haiwan peliharaan untuk divaksinasi dan tidak memberi makan kepada anjing liar.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber 1 kes baru rabies di Sarawak

Post a Comment

Previous Post Next Post