Pengurus RamPaGe Gaming, Megat Danish Izmeer berkata, pasukannya akan terus berlatih dan berusaha dengan lebih keras bagi menjamin mutu persembahan di Anaheim nanti.
“Kami akan berlatih dua kali lebih keras daripada biasa walaupun cabaran kami ketika ini adalah lebih kepada keseimbangan pengurusan masa latihan e-sukan dengan tanggungjawab seharian sebagai mahasiswa dan pekerja.
“Salah seorang ahli kami sedang menjalani latihan industri dan ada juga yang sedang bersiap sedia bagi program latihan khidmat negara di Singapura sebagai tentera.
“Namun ia tidak menghalang kami untuk mengatur jadual latihan yang lebih baik dan kekal berlatih setiap hari. Kami juga akan memerhati dan mempelajari bagaimana pasukan di Amerika Syarikat mengatur strategi mereka dalam perlawanan, sebagai persiapan menentang mereka nanti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam Kejohanan ESL Asia yang berlangsung 12 Mei lalu, RamPaGe Gaming membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM47,000 (AS$12,000) selepas bergelar juara.
Mereka bakal bersaing dengan lebih 160 pasukan dari seluruh dunia dalam Liga Dunia COD di Anaheim bagi merebut hadiah wang terkumpul kira-kira RM796,000 (AS$200,000).
Selain Megat Danish, RamPaGe Gaming turut dibarisi pengasas pasukan Abdul Hakiem ‘RanGer’ Tajudin, Koh ‘Xenon ‘ Yue Wen, Sean Wong dan Juan ‘Axis’ Miguel.
Bagaimanapun, posisi Juan Miguel Syarin kini digantikan dengan 'SolidRain' Rahman berikutan keperluan memenuhi tanggungjawab khidmat negara di Singapura.
Sementara itu, Megat Danish berkata kemenangan yang diperoleh dalam kejohanan berprestij itu diraih dengan penuh emosi oleh rakan-rakan seperjuangannya.
Jelasnya, perjuangan dan pengorbanan bagi membina komuniti COD di Asia Tenggara selama empat tahun ini dilihat membuahkan hasil.
“Kesemua ahli pasukan telah memberi komitmen dan pengorbanan yang sangat tinggi dengan meletakkan kerjaya e-sukan ini sebagai keutamaan.
“Terutamanya Abdul Hakiem, yang meletakkan impiannya untuk menjadi pemain profesional COD sejak berusia 12 tahun.
“Sepanjang empat tahun ini juga, kami memang tekad untuk membangunkan komuniti COD dengan memperbaiki dan berlatih menentang pasukan-pasukan rantau ini sehingga Playstation Asia dan ESL memberi peluang untuk kami menjadikan ia satu realiti,” tambahnya.
RamPaGe Gaming ditubuhkan pada 2014 ketika menyertai Kejohanan Call of Duty Ghost Malaysia dan meraih tempat kedua.
Menurut Abdul Hakiem, pasukan itu sebelum ini dikenali sebagai EvOlution RamPaGe dan dijenamakan semula sebagai RamPaGe Gaming pada 2016 ketika menyertai pertandingan peringkat antarabangsa buat kali pertama dalam Kejohanan COD Asia.
Antara pencapaian RamPaGe Gaming yang lain termasuk tempat kedua Kejuaraan COD Asia di Korea dan menduduki 16 teratas dalam Kejohanan Pro Circut di Sydney Australia pada tahun lalu.
Sumber Call of Duty: Selepas tawan Asia, RamPaGe Gaming mahu dominasi dunia