Dikecam tak keluar mengundi, ini alasan Hanis Zalikha

KEHANGATAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 9 Mei lalu nampaknya masih belum reda dengan pelbagai isu yang bukan sahaja melibatkan ahli politik tetapi golongan selebriti.

Antara selebriti yang menjadi perhatian adalah pasangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha yang didakwa tidak keluar mengundi apabila dilihat tidak memuat naik gambar jari dengan kesan dakwat kekal sebagai tanda sudah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia  seperti mana artis lain di Instagram.

Hanis bagaimanapun enggan melatah dengan kata-kata kecaman dilemparkan terhadap mereka kerana mengakui tidak berkesempatan keluar mengundi.

Jelas Hanis, tindakan itu bukannya sengaja sebaliknya tuntutan kerja yang kebetulan jatuh pada hari sama dengan PRU14 membuatkan mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu.

"Jujurnya memang kami berdua tidak keluar mengundi dan ia bukannya disengajakan tetapi tuntutan kerja membuatkan hasrat itu tidak dapat dilaksanakan.

"Pada hari tersebut kami terlibat dengan penggambaran bersama Jakel untuk koleksi hari raya dan ia tidak boleh dipinda memandangkan jadual Hairul padat dengan penggambaran filem Paskal," katanya ketika ditemui pada pelancaran Jakel Barulah Raya pada Sabtu.

Selain Hairul dan Hanis, beberapa selebriti lain seperti Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari dan Ayda Jebat turut dipilih sebagai wajah kempen raya gedung kain terkenal itu.

Dalam pada itu, Hanis berkata, sebagai seorang rakyat Malaysia yang menanti-nantikan PRU14, dia dan Hairul memang berasa ralat tambahan pula melihat kepada kebangkitan pengundi mengubah landskap politik negara.

Bagaimanapun kata Hanis, dia berjanji akan memastikan menjalankan tangunggjawabnya pada pilihan raya akan datang dalam tempoh lima tahun lagi.

"Kami juga akan mengingatkan peminat kami untuk mendaftar sebagai pengundi dan turut sama-sama mengundi di PRU akan datang," katanya lagi.



Sumber Dikecam tak keluar mengundi, ini alasan Hanis Zalikha

Post a Comment

Previous Post Next Post