Dr M minta maaf selepas label korban Memali ‘mati katak’

Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi atas kepercayaan bahawa seseorang mati syahid apabila membunuh polis. — Foto oleh Yusof Mat IsaDr Mahathir Mohamad menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi atas kepercayaan bahawa seseorang mati syahid apabila membunuh polis. — Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 4 Mei — Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada keluarga 14 mangsa tragedi Memali pada 1985 ketika pentadbirannya.

“Mungkin perkataan saya itu terkasar, tetapi saya minta maaflah kepada keluarga yang terlibat dengan kematian di Memali,” kata bekas perdana menteri dalam video di Facebooknya.

Pada ceramah di Lembah Pantai malam tadi, pengerusi Pakatan Harapan itu menyebut “bukan mati syahid, mati katak” merujuk kepada korban Memali.

Peristiwa itu berlaku pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah, mengorbankan guru agama PAS Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya.

Empat anggota polis turut terbunuh selain berpuluh-puluh mangsa cedera dan ratusan penduduk kampung ditahan.

Sebaliknya, Dr Mahathir menyalahkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi kerana menuduh beliau terlibat dalam insiden berdarah lebih tiga dekad lalu.

“Sebenarnya [kalau Abdul] Hadi tidak berkata kematian seseorang itu apabila melawan kerajaan adalah mati syahid, maka sudah tentu tidak berlaku kes Memali.”

“Ia [insiden] berlaku kerana kepercayaan bahawa apabila membunuh polis kerajaan, kita mati syahid.”

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, menjelaskan al-Quran melarang umat Islam membunuh antara satu dengan lain

“Dalam al-Quran juga berkata bahawa kita tidak boleh bunuh seorang Islam. Kalau kita membunuh, maka tuhan akan marah kepada kita. Ini ada dalam al-Quran,” katanya.

Dr Mahahir juga mendakwa Abdul Hadi “yang membawa kepada kematian” di Memali.

“Bukan saya. Saya tidak terlibat. Ini tindakan polis. Sekali lagi saya mohon maaf kepada keluarga mereka yang mati dalam serangan yang berlaku di Memali,” katanya mengakhiri ucapannya.



Sumber Dr M minta maaf selepas label korban Memali ‘mati katak’

Post a Comment

Previous Post Next Post