TANJUNG MALIM, 4 Mei — Peneroka Felda mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM6,000 sebulan sekiranya berusaha keras tanpa jemu memajukan tanah meraka.
Hakikat ini diakui Roziah Baseran, 50, wanita cekal yang kini menguruskan ladang kelapa sawit milik ayahnya sejak hampir 19 tahun di Felda Gunung Besout 1, Sungkai dekat sini.
“Kakak dulu kerja kat Langkawi. Tahun 1999 balik sini, tolong ayah. Duduk Felda ini senang, tak perlu fikir sangat banyak benda. Tanah, rumah, semua ada.
“Kemudahan yang orang Felda dapat selalu dicemburui oleh orang lain di kampung luar. Kalau dulu jalan tanah merah, sekarang jalan berturap.
“Rumah pun dahulu rumah papan yang semua rekabentuk sama. Sekarang bila kami mampu, kami bina rumah lebih selesa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini ketika ditemui di Felda Gunung Besout 2.
Felda Gunung Besout terletak kira-kira 23 kilometer dari pekan Sungkai dan ia meliputi Felda Gunung Besout 1 hingga 7 selain mempunyai kilang sawit sendiri iaitu Kilang Sawit Besout.
Turut mengakui perkara sama, Ketua Peneroka Felda Trolak Selatan Abdul Razak Baharuddin, 50, yang mengusahakan kebun kelapa sawit sejak 1987 berkata penghuni Felda merupakan golongan yang paling beruntung dari pelbagai aspek.
“Peserta Felda dapat tanah dan rumah, ditambah pula dengan macam-macam insentif khas. Kalau untung bersih kita dapat dalam RM1,000 sebulan pun tidak perlu risau kerana kebajikan kita (warga Felda) memang dibela.
“Bermacam-macam bantuan daripada kerajaan melalui Felda, termasuk pengajian anak perempuan saya di University of Melbourne turut dibiayai biasiswa Felda, sekarang dia (anak) kerja akauntan di Felda juga, memang betul-betul keluarga Felda,” katanya yang gembira dengan kejayaan anaknya itu.
Walaupun terdapat anggapan umum perkampungan Felda sebagai lokasi yang jauh di pedalaman yang sinonim dengan kemunduran, hari ini terdapat pelbagai kemudahan di Felda Gunung Besout termasuk bekalan air bersih, tenaga elektrik dan sistem komunikasi selain kemudahan infrastruktur lain seperti sekolah, masjid, serta taman permainan.
Begitu juga komuniti Felda Gunung Besout 2 yang ‘bergelumang’ dalam dunia kelapa sawit, namun persekitaran tanah rancangan itu menampakkan kerjasama penduduknya untuk mencantikkan kawasan, ibarat sebuah taman di tengah-tengah ladang kelapa sawit.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan manifesto Barisan Nasional untuk PRU14 menawarkan insentif khas RM5,000 bagi setiap peneroka Felda selain pewujudan geran khas bagi tujuan penanaman semula.
Hutang pembelian saham FGV peneroka Felda juga akan dilupuskan, menurut manifesto itu yang turut menawarkan pelupusan hutang penanaman semula peneroka. — Bernama
Sumber Peneroka Felda dapat RM6,000 sebulan jika rajin majukan tanah