GLC: Jangan terburu-buru ambil tindakan, kata Anwar

Ketua umum PKR berkata keputusan perlu dibuat berdasarkan tadbir urus baik dan bukan kerana dendam dan iri hati.

IPOH: Kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri masing-masing, khususnya selepas peralihan kuasa.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri besar dan ketua menteri perlu mengambil tindakan yang dirasakan perlu berdasarkan kepada tadbir urus baik demi faedah kepada rakyat.

“Jangan gopoh mengambil tindakan, jangan sebab dendam dan iri hati. Saya tiada masalah dengan GLC kalau prestasinya baik dan jika menteri besar rasa ia sesuai diteruskan, saya tiada pandangan negatif, kita terima.

“Tetapi jika terbukti di peringkat persekutuan berlaku pembaziran, pertindihan dan pembayaran elaun keterlaluan kepada tokoh politik, ini harus dihentikan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan barisan exco kerajaan negeri hari ini.

Dalam konteks Perak, Anwar berkata menteri besar dan exco perlu memberi perhatian terhadap mana-mana GLC yang didapati melanggar tadbir urus terbaik.

Ditanya jika kerajaan negeri perlu melakukan audit terhadap GLC sedia ada, Anwar berkata ia mungkin pendekatan yang perlu, namun beliau percaya menteri besar akan melakukan yang terbaik.

Dalam pada itu, Anwar menasihati barisan kepimpinan negeri supaya menjaga pentadbiran dan melaksanakan tadbir urus terbaik selain berintegriti supaya Perak bersih daripada salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah.

“Saya percaya dengan keupayaan mereka yang mantap dan mampu menumpukan kerja dengan cepat.

“Tugas saya sebagai rakan mereka adalah mengingatkan keperluan agar memenuhi janji dan aspirasi rakyat kerana kemenangan kita ini dipilih oleh rakyat,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang sedia memberi pandangan bagi membantu kejayaan dan kemajuan Perak.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber GLC: Jangan terburu-buru ambil tindakan, kata Anwar

Post a Comment

Previous Post Next Post