Semuanya disebabkan penangan filem blokbuster mega, Avengers: Infinity War yang memenuhi setiap slot tayangan di pawagam di seluruh negara.
Atas alasan itu jugalah, barangkali ia membuatkan pengedar filem tidak berani mengambil risiko menayangkan filem-filem lain bagi memberi laluan kepada filem Avengers: Infinity War menghiburkan penonton.
Pun begitu, pemilihan yang dibuat penulis untuk menonton Goodbye Christopher Robin bukanlah kerana terpaksa tetapi sememangnya penulis menunggu tayangan filem ini di Malaysia.
Walaupun ia boleh dikategorikan sebagai filem ‘lama’ kerana hanya selepas tujuh bulan baru berpeluang ditayangkan di sini sejak 19 April lalu, tetapi subjek ceritanya itu sebenarnya menarik perhatian.
Sebagai seorang yang membesar dengan karakter kartun Winnie the Pooh dan teman-temannya yang tinggal di Hundred Acre Wood, pastinya penulis mahu mengetahui kisah di sebalik tercetusnya idea dan penciptaan watak animasi kesayangan ramai itu.
Ditambah pula, belum pernah lagi kisah hidup penulis serta pencipta watak dan kisah seorang budak bernama Christopher Robin dan beruang kesayangannya, Winnie the Pooh iaitu Alan Alaxander Milne atau lebih dikenali sebagai A. A. Milne dipersembahkan ke medium filem.
Sementelah penulis juga sukakan filem biografi yang penulis sifatkan sebagai subjek yang dapat ditonton daripada perspektif berbeza yang tidak pernah diketahui sebelum ini walaupun filem bercorak biografi ada risiko tersendiri.
Berbalik kepada Goodbye Christopher Robin, perkara utama yang penulis sukakan tentang filem ini bagaimana penceritaan tentang kisah hidup A. A. Milne (lakonan Domhnall Gleeson) yang sebenarnya sarat dengan kisah duka.
Benarlah apa yang pernah penulis baca sebelum ini yang mengatakan bahawa kebanyakan penulis hebat dan masyhur tidak memiliki kehidupan yang menggembirakan serta membahagiakan.
Tema filem Goodbye Christopher Robin adalah tentang hubungan antara seorang ayah dan anaknya yang kemudiannya menjadi terkenal sekelip mata.
Di sebalik karya hebat mereka yang menggembirakan pembacanya, semuanya ada harga yang perlu dibayar.
Demikianlah juga dengan perjalanan hidup Milne yang perlu berhadapan dengan pelbagai situasi menyulitkan dan menyedihkan sehingga membuatkan dirinya tersiksa lalu tempiasnya turut terkena kepada isterinya, Dorothy de Selincourt atau Daphne (Margot Robbie).
Walaupun Daphne berjaya melahirkan satu-satunya zuriat mereka, Christopher Robin Milne (Will Tilston) dalam keadaan tidak rela pada awalnya kerana mahukan anak perempuan, namun, kehadiran anak yang digelar Billy Moon itu merubah kehidupan mereka selepas itu.
Daripada momen itu, naratifnya mula bergerak dan dipersembahkan dengan cerita bagaimana hubungan Milne dengan Billy Moon sehingga titik punca konflik bermula sebaik sahaja Milne menerbitkan kisah Winnie the Pooh yang mencetuskan fenomena pasca Perang Dunia Pertama.
Meskipun penceritaannya mudah difahami dan memberi pemahaman berbeza (kerana penulis membayangkan ia adalah kisah tentang dunia Winnie the Pooh dari awal hingga ke hari ini) tetapi masalah yang dihadapi oleh Goodbye Christopher Robin adalah dari sudut susun atur ceritanya yang kurang kemas.
Masalah kurang kemas itu adalah disebabkan oleh ketidak seimbangan cerita antara watak Milne dan Christopher Robin yang akhirnya tidak dapat menerbitkan jiwa yang seharusnya wujud dalam filem arahan Simon Curtis (My Week With Marilyn, 2012) ini.
Suasana atau mood filem ini berada pada satu dimensi lalu membuatkan alirannya tidak berupaya mencetuskan momentum yang sepatutnya boleh dicipta memandangkan ceritanya memang menarik.
Barangkali jika cerita ini mengambil ceritanya dari sudut pandang watak Christopher Robin itu sendiri akan memberikan satu persembahan yang mungkin dapat memberikan impak yang berbeza.
Begitu juga dengan lakonan teraju utamanya, Gleeson dan Robbie yang penulis melihat begitu canggung dan tidak menampakkan keserasian antara mereka.
Penulis tidak pasti sama ada kehidupan sebenar Milne dan Daphne adalah sebegitu rupa tetapi daripada persembahan lakonan Gleeson dan Robbie, ia seperti sesuatu yang seperti dibuat-buat dan tidak semula jadi.
Di sebalik kelemahan itu, sesuatu yang boleh dipuji tentang Goodbye Christopher Robin apabila ia telah memberikan satu perspektif baharu tentang filem biografi yang penulis anggap ada kelainannya.
Selama ini, kita hanya mengetahui tentang watak-watak yang berlegar dalam dunia Winnie the Pooh itu sahaja tetapi sebenarnya, ada cerita di sebaliknya yang tidak pernah diketahui sebenarnya.
Malah, penulis melihat metafora di sebalik permainan warna filem ini memberi mesej tersendiri tentang kehidupan yang menyentuh tentang di sebalik kedukaan dan kesedihan yang dilalui, pasti ada sinar bahagia dan cerah menerangi akhirnya.
Disebabkan itu, tidak salah untuk penulis mengesyorkan kepada kaki wayang untuk menonton filem Goodbye Christopher Robin walaupun ia bukanlah sebuah karya komersial seperti yang sering dimahukan oleh peminat filem secara amnya.
Sumber ‘Goodbye Christopher Robin’ menarik tapi kurang kemas