Izreen anggap apa yang berlaku sebagai kifarah

SETELAH pelbagai kecaman dan tohmahan diterimanya sepanjang kontroversi rumah tangganya bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude diperkatakan ramai, Izreen Azminda mengakui kini semakin tenang dan menerima dengan reda apa yang telah dilaluinya.

Malah Izreen menerusi laman Instagramnya pada 1 Ramadan lalu,  mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas segala kesilapan dan kekhilafannya sebelum ini dan dalam masa yang sama mengakui telah memaafkan mereka yang pernah mneghina dan mencaci maki dirinya.

Menurut Izreen, sepanjang lebih 12 tahun bergelar anak seni, kontroversi tersebut merupakan ujian yang paling berat untuknya.

Menyifatkannya apa yang berlaku itu sebagai kifarah dalam hidupnya, Izreen menerima apa yang berlaku dengan hati yang terbuka.

“Mungkin ini semua kifarah hidup… Kun Faya Kun, jadi, maka jadilah ia”

“Saya, suami dan pihak di sana mungkin pernah melakukan kesilapan. Jadi kami ditimpa dengan ujian hidup.

“Jujurnya, saya terlalu sibuk bekerja sepanjang lebih satu dekad, ada kala saya alpa dan lalai dengan perintah Tuhan. ALLAH pemberi rezeki dan Dia boleh merentapnya sekelip mata.

“ALLAH menjentik saya supaya kembali mengingati dan mendekatkan diri dengan-Nya. Mulanya, saya berat menerima ujian ini, tetapi saya harus reda,” jelasnya kepada sebuah portal hiburan.

Tambah Izreen, dia percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku di mana ALLAH mungkin menarik rezekinya, tetapi dia dianugerahkan suami.

Justeru, pelakon asal Perlis ini juga melihat perkara yang sama berlaku kepada pihak sebelah sana.

“ALLAH menarik suaminya, tetapi memberikannya dengan rezeki melimpah ruah. Itu yang diinginkan selama ini, ALLAH menunaikannya. Kami sudah menerima bahagian masing-masing. ALLAH Maha Adil,” katanya.

Mahu melupakan kontroversi lalu, Izreen ini dilihat semakin bersemangat membina hidup baharu. Malah dia kini kembali aktif berkongsi perkembangan terkininya di laman Instagram meskipun belum bersedia membuka kembali ruangan komen yang telah ditutup beberapa bulan lalu.

Izreen dan Ude yang juga merupakan seorang pemuzik bebas berkahwin 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara. Sementara pada Mac lalu, Ude telah menceraikan isteri pertamanya, Intan Liana atas alasan tiada kesefahaman.



Sumber Izreen anggap apa yang berlaku sebagai kifarah

Post a Comment

Previous Post Next Post