'Kegelisahan pasaran tempatan akan lenyap selepas Kabinet dibentuk' - Azman Hashim

KUALA LUMPUR: Sentimen kegelisahan dalam pasaran tempatan ekoran kejutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah bersifat sementara dan akan lenyap sebaik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan barisan Kabinetnya.

Tokoh perbankan yang juga Pengerusi Institut Perbankan Berkanun Asia (AICB), Tan Sri Azman Hashim berkata beliau yakin dengan keupayaan perdana menteri baharu itu berikutan pengalaman dan kepakaran Dr Mahathir mengemudi negara ini ketika krisis mata wang Asia pada 1997.

"Kita yakin dengan apa yang mampu dicapai Dr Mahathir dan saya percaya keyakinan pelabur akan kembali ke pasaran dengan pantas," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi AICB di sini, hari ini.

Azman berkata, Dr Mahathir juga telah memberi keutamaan terhadap usaha meneliti keadaan kewangan dan ekonomi negara yang sememangnya baik bagi menyuntik keyakinan pelabur.

Selain itu, beliau turut menegaskan keutamaan pendidikan profesional dan peri pentingnya aspek keahlian AICB untuk mereka yang menyertai sektor itu, sejajar dengan perubahan yang melanda landskap perbankan masa kini.

"Sebagaimana yang anda ketahui, penyelewengan serius yang berlaku dalam krisis kewangan lepas telah menjejaskan reputasi sektor perbankan. Ini membuktikan krisis profesionalisme dalam kalangan ahli perbankan dan seterusnya menyebabkan kehilangan keyakinan dan kepercayaan awam.

"Ingin saya ingatkan, aspek kepercayaan masih merupakan teras perbankan. Kita berada dalam satu bidang yang mana orang ramai menyimpan wang dalam bank kerana mereka percayakan kita.

"Oleh itu, tanggungjawab kita adalah melindungi integriti dan kestabilan sistem perbankan yang menjadi nadi kepercayaan dan keyakinan awam terhadap industri kewangan," katanya.

Azman berkata keahlian AICB juga telah meningkat kepada lebih 17,000 setakat ini berbanding 12,000 pada akhir tahun lepas. -- Bernama



Sumber 'Kegelisahan pasaran tempatan akan lenyap selepas Kabinet dibentuk' - Azman Hashim

Post a Comment

Previous Post Next Post