KOTA BARU, 2 Mei — Walau enggan mengulas pendirian bondanya, Nik Omar Nik Aziz yakin ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak akan mendoakan kejayaannya.
Katanya, soal restu ibu sebagai calon Pakatan Harapan DUN Chempaka pada pilihan raya umum ini "hanya silap faham dan masalah teknikal", lapor Harian Metro.
"Apa yang pasti, bonda saya turut mendoakan saya seperti anak-anak yang lain," katanya selepas meluangkan masa bertemu ibunya di Pulau Melaka di sini.
"Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang pentingnya bonda doa kepada semua anak-anak."
Selaku anak, Nik Omar juga mendoakan kesejahteraan ke atas ibu bapanya malah selaku pengetua, beliau meluangkan masa bertemu pelajar Maahad Darul Anwar.
Sabtu lalu anak kedua bekas mursyidul am PAS itu mengejutkan semua pihak apabila mengemukan kertas pencalonan mewakili Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum.
Tindakan Nik Omar itu mengundang pelbagai reaksi termasuk adindanya Nik Abduh yang mendakwa ibunya sangat terguris dengan keputusan anak lelaki sulungnya itu.
Jika dipilih menjadi wakil rakyat, Nik Omar sedia memperjuangkan agenda hudud dan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 berkaitan Mahkamah Syariah.
"Ia adalah tanggungjawab sebagai hamba Allah untuk patuh. Bukan setakat hudud, tetapi tanggungjawab untuk patuh dan tunduk kepada semua syariat dan arahan Allah," katanya.
Sumber Macam Abduh, ibu juga doakan saya, kata Nik Omar