BERA, 2 Mei — Budaya samseng dan provokasi dibawa penyokong pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh merisikokan perpaduan kaum di negara ini, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata dibimbangi tindakan provokasi dan samseng sebegitu akan mendatangkan tindak balas pihak lain sekali gus mengundang bahaya.
Beliau percaya sikap samseng dalam kalangan penyokong pakatan pembangkang itu timbul hasil perlakuan pimpinan tertinggi mereka yang sering membangkitkan isu-isu yang mendorong pengikutnya bertindak di luar kawalan.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan menggunakan bahan berasaskan getah di Kampung Paya Tateh di sini, hari ini, mengulas kes seorang warga emas patah tulang rusuk selepas ditolak sehingga jatuh dari pentas oleh individu dipercayai penyokong pembangkang dalam satu program MCA di Ayer Hitam, Johor semalam yang turut tular di media sosial.
Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bera, berkata tindakan samseng penyokong pembangkang turut berlaku Bera, antaranya membuang bendera dan bahan kempen BN memaksa pihaknya membuat tiga laporan polis setakat ini.
Ekoran itu, beliau menggesa pimpinan pakatan pembangkang mengawal penyokong masing-masing agar tindakan provokasi itu tidak berlanjutan kerana dibimbangi mengundang tindak balas pihak yang tidak berpuas hati dengan perlakuan tersebut.
“Sepatutnya kita bertanding secara gentlemen, hebahkan apa yang kita boleh tawarkan, bukannya menjual budaya samseng yang boleh mengancam perpaduan,” kata Ismail Sabri.
Tempoh berkempen PRU14 masih berbaki tujuh hari, tamat pada 12.01 malam 9 Mei ini. — Bernama
Sumber Provokasi pembangkang ancam kempen pilihan raya