Nelydia atau Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 24, yang menjadi mangsa serangan netizen di laman sosial itu seolah-olah menggambarkan dia berhadapan dengan beban yang bukan dilakukannya.
"I wonder how much of what weighs me down is not mine to carry (Saya tertanya-tanya berapa banyak beban yang sebenarnya bukan milik saya tetapi perlu saya tanggung)," tulis Nelydia di Twitter pada Isnin.
Rata-rata pengikutnya di laman sosial menyifatkan petikan tersebut ada kena mengena dengan situasi yang berlaku sekarang.
Malah mereka turut memberi kata semangat dan berharap pelakon drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu itu serta keluarganya kuat mengharungi dugaan.
"Setiap manusia itu akan diuji dengan berbagai dugaan jadi kita sebagai manusia ini kenalah kuatkan diri untuk tempuhi setiap dugaan dengan hati yang tenang tanpa ada rasa terbeban diatas dugaan yang dihadapi itu.
"Stay strong @NelydiaSenrose and family. Setiap dugaan pasti menguatkan. Tetap kekal bersama keluarga dan adik beradik. Sokongan antara satu sama lain sangat diperlukan.
"Semoga kuat. Kami peminat di Sabah selamanya ada dengan Nely dan Uqasha serta keluarga. Insya-Allah, Allah itu ada dengan kita. Nely kena kuat untuk Uqasha," komen beberapa pengikutnya.
Laman Instagram Nelydia menjadi tempat perbalahan netizen selepas kakaknya itu membuat keputusan menutup ruangan komen di Instagram.
Sebelum ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang pelakon popular ditahan polis selepas ditemui dalam keadaan khayal berserta sejumlah dadah sintetik yang dipercayai jenis Erimin 5 sebanyak 53 biji yang dianggarkan bernilai RM660 dalam tas tangan miliknya pada Ahad.
Uqasha bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ujian saringan awal air kencing terhadap aktres itu juga didapati negatif.
Tambah Mazlan, kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
Sumber polis berkata, artis itu yang berasal dari Kelantan dipercayai melanggar kenderaan seorang lelaki Cina di Taman Tun Dr Ismail di sini sebelum lelaki tersebut menghubungi pihak polis kira-kira pukul 11.45 pagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Bagaimanapun, Uqasha menerusi satu laporan sebuah portal tampil menjelaskan ujian air kencing membuktikan dia tidak berada dalam keadaan khayal seperti dilaporkan.
Malah, dia turut memberitahu bahawa terdapat unsur sabotaj terhadap dirinya.
Sumber Status Nelydia Senrose untuk Uqasha?