Warga emas maut kemalangan

TAPAH: Seorang lelaki warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di KM 320.8 dekat Tapah di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Teo Seng Yew, 59 tahun, maut apabila kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail yang dinaikinya terbalik setelah bergesel dengan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila Myvi yang dipandu Chen Eugene, 17 tahun, bergesel dengan pacuan empat roda tersebut yang dipandu Wong Meng Loen, 53 tahun.

Menurutnya kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan yang bergerak dari arah utara terbabas sebelum terbalik.

Katanya mangsa yang maut merupakan penumpang di tempat duduk belakang Nissan X-Trail manakala tiga lagi penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan.

“Pemandu kenderaan empat roda itu, Wong Meng Loen mengalami kecederaan di tulang belakang, penumpang di hadapan pula, Tan Wai Hong patah kaki sebelah kiri  dan penumpang bahagian belakang, Wong Ah Low, luka di bahagian kepala.

“Manakala dua remaja, iaitu pemandu kereta Myvi, Chen dan penumpang, Foo Mun Teik, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya lagi kesemua mangsa cedera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan siasatan bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan punca kemalangan masih dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber Warga emas maut kemalangan

Post a Comment

Previous Post Next Post