Musa Aman perlu angkat sumpah ADUN dalam tempoh tiga bulan..jika tidak kerusi DUN kosong

Tan Sri Musa Aman perlu mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dalam tempoh tiga bulan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 11 Jun lalu atau kerusi yang dimenanginya boleh diisytiharkan kosong.

Bekas Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Johny Mositun berkata perkara itu adalah berdasarkan Artikel 22 (2) Perlembagaan Negeri Sabah.

"Berdasarkan Artikel 22 (2) Perlembagaan Negeri Sabah, kerusi yang dimenangi seseorang wakil rakyat boleh diisytiharkan kosong oleh speaker jika wakil rakyat berkenaan gagal mengangkat sumpah sebagai anggota DUN Sabah dalam tempoh tiga bulan selepas persidangan pertama DUN Sabah," kata Mositun yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada Bernama, Khamis.

Menurut peguam Musa, anak guamnya itu sedang mendapatkan rawatan perubatan di lokasi yang tidak didedahkan.

Seorang lagi wakil rakyat yang belum mengangkat sumpah ialah wakil rakyat kawasan DUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang difahamkan sedang menunaikan ibadah umrah.

Pada 11 Jun lalu, seramai 43 wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan partinya PKR, DAP dan UPKO mengangkat sumpah sebagai anggota DUN pada persidangan pertama DUN Sabah di hadapan Speaker Datuk Syed Abas Syed Ali di bangunan DUN di Likas, dekat sini.

Daripada jumlah berkenaan, 39 adalah yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala selebihnya yang

dilantik.

Daripada 39 ADUN yang dipilih pada PRU14 itu, 33 daripada Warisan dan sekutunya iaitu DAP, PKR dan UPKO manakala enam lagi merupakan wakil rakyat daripada UMNO yang meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, seramai 21 wakil rakyat UMNO dan bekas rakannya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu PBS, UPKO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah serta parti Solidariti yang menyokong Musa selaku Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, tidak hadir pada persidangan berkenaan.

Namun keesokannya, 19 daripada 21 wakil rakyat terbabit mengangkat sumpah sebagai anggota DUN di hadapan Speaker DUN Sabah di pejabatnya.

Pada 10 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri selepas memperoleh majoriti mudah apabila parti Solidariti berpihak kepadanya untuk membentuk kerajaan campuran.

Bagaimanapun, majoriti mudah yang diperoleh Musa itu hilang selepas UPKO dan beberapa wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar BN dan menyokong Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Susulan itu, Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pada 12 Mei lalu sekali gus mencetuskan krisis perundangan mengenai jawatan ketua menteri di Sabah.

Situasi itu menjadi lebih kompleks berikutan laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang mendakwa menerima ugutan jenayah daripada Musa, menyebabkan polis membuka kertas siasatan.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dilaporkan berkata pihaknya belum dapat menyiapkan kertas siasatan kerana belum dapat merekodkan keterangan Musa dan masih mengesan keberadaan bekas ketua menteri itu untuk diambil keterangan.

Pada 17 Mei lepas, Musa memfailkan writ saman terhadap Juhar dan Mohd Shafie memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Writ itu juga memohon pengisytiharan bahawa majlis mengangkat sumpah Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ketua Menteri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah adalah menyalahi perlembagaan negeri.

Writ itu difailkan oleh Tetuan F.T. Ahmad and Co, yang mewakili Musa dan menamakan Juhar dan Mohd Shafie, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua. Difahamkan sebutan kes itu dijadualkan pada 9 Julai ini.-21/8/2018 Oleh Nashir Mansor,BERNAMA



Sumber Musa Aman perlu angkat sumpah ADUN dalam tempoh tiga bulan..jika tidak kerusi DUN kosong

Post a Comment

Previous Post Next Post