Neymar kini 80 peratus cergas

BINTANG Brazil, Neymar, mendedahkan dirinya kini 80 peratus cergas selepas menjaringkan gol hebat sewaktu tampil buat kali pertama sejak Februari lalu akibat kecederaan patah kaki.

Neymar membuka tirai jaringan sewaktu Brazil membenam cabaran Croatia 2-0 dalam aksi persahabatan di Anfield tatkala skuad kedua-dua pasukan mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2018.

Dia mencipta jaringan hebat, menggelecek tiga orang pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan padu yang terkena palang dan menerjah jaring gol untuk membuktikan dirinya sudah bersedia untuk kembali.

Bagaimanapun, Neymar mendedahkan dirinya masih belum bersedia sepenuhnya dan masih berdepan ketakutan ekoran kecederaan yang menimpa dirinya sebelum ini.

"Ia sudah lebih tiga bulan sejak saya mengalami kecederaan itu," kata Neymar.

"Untuk kembali dan melakukan apa yang saya gemari iaitu bermain bola sepak dan menjaringkan gol, saya sangat gembira tetapi saya tetap masih berdepan ketakutan dan ia akan hilang sedikit demi sedikit ketika sesi latihan.

"Mungkin hasilnya akan dapat dilihat dalam latihan pada minggu ini. Saya gembira dengan aksi pada hari ini.

"Buat masa ini, saya masih rasa tidak selesa dan ia normal kerana telah lama tidak beraksi di padang. Saya kini 80 peratus bersedia."



Sumber Neymar kini 80 peratus cergas

Post a Comment

Previous Post Next Post