Apakah Hukum Tidur Dengan Keadaan Kaki Menghadap Arah Kiblat? Mesti Ramai Yang Belum Tahu, Haaa... Lihat Penerangan Dari Ustaz Azhar Idrus



Apakah hukum tidur kaki menghadap kiblat? Adakah ianya dibolehkan? Adakah ianya dilarang? Tidaklah didapati nas yang melarang samada daripada al-Quran atau Sunnah berkaitan larangan melunjurkan kaki ke arah kiblat.

Tambahan pula, antara larangan yang terdapat di dalam hadith adalah membuang air dalam keadaan mengadap ke arah kiblat. Ini berdasarkan hadith yang sahih di dalam al-Bukhari dan Muslim:

Daripada Abi Ayyub al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:


إِذَا أَتَيْتُمُ الغَائِطَ فَلاَ تَسْتَقْبِلُوا القِبْلَةَ، وَلاَ تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا

Maksudnya: “Apabila kamu hendak membuang air maka janganlah kamu mengadap ke arah kiblat dan jangan juga kamu membelakanginya. Akan tetapi palinglah kamu ke timur atau ke barat”. [Riwayat al-Bukhari (394)]

Daripada Abi Ayyub al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ، وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا بِبَوْلٍ وَلَا غَائِطٍ، وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا

Maksudnya: “Apabila kamu hendak membuang air maka janganlah kamu mengadap ke arah kiblat dan jangan juga kamu membelakanginya ketika buang air kecil dan besar. Akan tetapi palinglah kamu ke timur atau ke barat”. [Riwayat Muslim (264)]

Berdasarkan kedua hadith tersebut, jelas berkaitan larangan membuang air dalam keadaan mengadap dan membelakangi arah kiblat di tempat yang terbuka. Ini kerana, kiblat merupakan arah yang paling mulia dan ia merupakan arah bagi setiap orang yang ingin mendirikan solat.



Selain itu juga, sebahagian Hanafiyyah berpandangan bahawa hukum melunjurkan kaki ke arah kiblat adalah makruh dalam semua keadaan termasuk tidur dan selain daripadanya. Ini kerana, hal tersebut boleh membawa makna menghina terhadap Ka’bah di sisi sebahagian daripada Hanafiyyah. Akan tetapi, Ibn Muflih berkata di dalam al-Adab al-Syar’iyyah:

وَلَمْ أَجِدْ أَصْحَابَنَا ذَكَرُوا هَذَا ، وَلَعَلَّ تَرْكَهُ أَوْلَى

Maksudnya: “Aku tidak mendapati daripada kalangan ashab kami (Hanabilah) menyebut akan perkara ini dan boleh jadi meninggalkannya adalah lebih utama”.

Tambahan pula, ulama’ Syafi’eyyah mengqiyaskan kemakruhan melunjurkan kaki ke arah kiblat dengan duduk iqa’ seperti anjing apabila solat dalam keadaan duduk sebagaimana disebut di dalam al-Mu’tamad.


Kami berpendapat hal ini kembali kepada niat seseorang itu. Jika dia melakukannya dengan bertujuan menghina Ka’bah maka ia adalah haram. Jika dia melakukannya tanpa berniat untuk menghina adalah diharuskan. Walaupun begitu, meninggalkannya adalah lebih utama apabila ditakuti ia boleh menimbulkan fitnah bagi orang yang melihatnya.

sumber artikel : https://ift.tt/2PcbbVa

Sumber Apakah Hukum Tidur Dengan Keadaan Kaki Menghadap Arah Kiblat? Mesti Ramai Yang Belum Tahu, Haaa... Lihat Penerangan Dari Ustaz Azhar Idrus

Post a Comment

Previous Post Next Post