Sebelum abad ke 20 ratusan tahun dahulu orang Melayu telah pergi menunaikan ibadat haji. Sukar dibayangkan adakah orang Melayu pergi menunaikan haji bersendirian atau berkumpulan. Namun yang lebih penting orang Melayu tidak pernah menafikan untuk menunaikan haji walaupun sesukar mana ia dilaksanakan. Orang Melayu menerima Islam secara menyeluruh sama seperti kaum muslimin yang lain termasuk melaksanakan ibadat haji.
Misteri bagaimana orang Melayu pergi menunaikan ibadat haji ratusan tahun dahulu menimbulkan tandatanya pihak kolonial. Para pegawai eropah khususnya Inggeris dan Belanda merasa kagum dengan populasi orang Melayu dan orang Jawa yang ramai di Makkah dan Madinah dalam setiap musim haji. Secara geografinya mustahil masyarakat Alam Melayu ini dapat sampai ke Tanah Arab dengan mudah. Malahan langsung tidak memiliki sempadan darat dengan Tanah Arab seperti Irak dan Damsyik pada masa itu yang memudahkan mereka ini untuk pergi menunaikan haji. Apa yang lebih menghairankan dari keseluruhan kaum muslimin seluruh dunia yang menunaikan haji kebanyakannya adalah orang Melayu dan orang Jawa dari kepulauan Melayu.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Zulfadli Maarof pelajar Sejarah UKM 2009 mendapati orang Melayu memiliki sistem pengurusan haji yang terbaik didunia Islam sehingga membolehkan kaum muslimin Melayu mengerjakan haji setiap tahun dengan jayanya. Sepanjang ratusan tahun yang lalu tidak ditemui sebarang catatan tragedi akibat kegagalan pengurusan haji dari kalangan orang Melayu. Mereka berjaya menguruskan pemergian setiap jemaah haji dengan cekap dan teratur.
Sebagai gambaran asas orang Melayu yang dimomokan sebagai lemah dan bodoh ratusan tahun dahulu sebelum abad ke 20 telah mampu mengendalikan urusan yang rumit. Walaupun abad terdahulu dibelengu kekurangan fasiliti perhubungan dan pengangkutan yang moden. Tiada jaringan jalan raya yang sempurna menyukarkan migrasi masyarakat Melayu untuk memudahkan mereka mengerjakan haji. Namun masalah ini diatasi oleh orang Melayu dengan merekrut ajen Syeikh Haji dari kalangan tenaga pengajar agama mahupun bekas jemaah haji itu sendiri.Syeikh Haji boleh dikatakan Local Genius masyarakat Melayu dalam mewujudkan sebuah kerjaya yang tiada dalam masyarakat lain.
Ini bermakna setiap kelompok masyarakat Melayu di setiap ceruk perkampungan memiliki ejen Syeikh haji. Mereka membantu menguruskan orang Melayu mengerjakan haji malah mempromosi perkhidmatan mereka secara meluas. Ejen Syeikh Haji ini turut memberi tunjuk ajar cara mengerjakan haji disurau-surau dan masjid dikawasan mereka. Pelbagai dakyah kebaikan menunaikan haji disebarkan antaranya ganjaran harta yang akan melimpah ruah setelah menunaikan haji, bersih suci dari dosa seperti bayi yang baru dilahirkan dan tidak kurang juga dianggap tidak mati sebagai Yahudi dan Nasrani kerana telah menunaikan haji. Walaupun pendekatan promosi ini ada unsur komersial dan manipulasi namun sedikit sebanyak masih boleh diterima oleh masyarakat Melayu pada masa itu.
Ejen Syeikh Haji tadi kemudiannya membantu bakal haji dari sudut pembiayaan dan perbelanjaan menunaikan haji. Ada antaranya menerima pajakan harta seperti tanah dan ternakan dan ada pula yang mengambil pakej pembiayaan dari ejen Syeikh Haji sebelum membayarnya dengan pekhidmatan sebagai buruh dengan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui. Ajen Syeikh haji kemudiannya membawa setiap bakal jemaah haji ini ke pelabuhan utama sama ada pelabuhan Singapura mahupun pelabuhan Pulau Pinang.
Menurut Zulfadli Maarof UKM 2009 jemaah haji pantai timur khususnya Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan menggunakan pelabuhan Singapura untuk menaiki kapal bagi mengerjakan haji. Begitu juga jemaah haji dari Johor, Melaka dan Selangor turut menggunakan pelabuhan Singapura. Manakala bagi jemaah haji di pantai barat khususnya Perak, Kedah dan Perlis akan menggunakan pelabuhan Pulau Pinang untuk bertolak memulakan pelayaran. Di lokasi dua pelabuhan ini juga lahirnya gelaran Haji Singapura dan Haji Pulau Pinang. Mereka yang mendapat gelaran ini biasanya terdiri dari bakal jemaah yang terkandas di pelabuhan dan tidak dapat menunaikan haji seperti dirancang. Setelah tidak dapat belayar mereka kembali ke kampung halaman memakai gelar Haji Singapura atau Haji Pulau Pinang.
Sepanjang pelayaran mengerjakan haji para kakitangan Syeikh Haji sentiasa berada dalam setiap kumpulan jemaah haji yang diiringinya. Pelayaran yang panjang dan bertambah panjang akibat cuaca yang tidak menentu diisi dengan pelbagai aktiviti. Para kakitangan Syeikh Haji biasanya memberikan latihan dan kursus intensif kepada setiap bakal jemaah haji yang dalam pelayaran. Dalam masa tidak kurang 6 bulan atau 8 bulan jemaah haji yang berjaya menjejakkan haji di pelabuhan Jeddah biasanya telah benar-benar memahami setiap rukun haji dan semua bacaan doa yang berkaitan dengan ibadat haji. Pendek kata jemaah haji yang mengikuti pelayaran mengerjakan haji berubah menjadi manusia baru yang penuh keinsafan dan alim dalam hal agama. Perubahan sikap mereka seolah-olah disucikan oleh angin lautan yang kadang kala menggerunkan dan adakalanya mendamaikan.
Setibanya para bakal jemaah haji di Jeddah mereka akan diserahkan kepada kakitangan Syeikh Haji yang datang dari Mekkah dan Madinah. Mereka ini adalah orang Melayu dan Jawa yang telah bermastautin menetap di Tanah Arab kerana melanjutkan pengajian agama. Dengan kemahiran bahasa arab yang baik dan kebolehan memahami budaya tempatan mereka membantu jemaah haji Melayu menunaikan ibadat dengan sempurna. Segala kemudahan penginapan dan makan minum turut mereka sediakan sehinggakan para jemaah hanya menumpukan sepenuhnya untuk menyempurnakan ibadat haji sahaja.
Golongan Syeikh Haji sebelum abad ke 20 tidak terlalu ramai. Walau bagaimanapun mereka biasanya terbahagi kepada Syeikh Haji Pulau Pinang dan Syeikh Haji Singapura. Dua kumpulan ini memiliki pecahan tersendiri mengikut jumlah kakitangan semasa yang mereka miliki. Walaupun menawarkan perkhidmatan yang mulia mereka turut mengenakan upah bayaran yang tertentu. Walaupun harganya tidak membebankan bakal jemaah namun kegiatan ini berjaya menjadikan Syeikh Haji seorang yang kaya raya. Salah seorang Syeikh Haji berjaya dan menjadi jutawan sekitar abad ke 17 dan 18 ialah Syeikh Haji Al Sagoff. Kekayaan yang dimiliki menyebabkan Sultan Johor sendiri bersetuju menganugerahkan konsesi Kukup di Pontian kepadanya untuk dimajukan. Malah Syiekh Haji Al Sagoff mampu mencetak wangnya sendiri
Walau apa sekalipun kemahiran orang Melayu mengendalikan perkhidmatan pengurusan memang antara yang terbaik. Masyarakat Melayu yang dikatakan buta huruf tulisan rumi, mundur ekonomi dan tidak tahu berbahasa Arab dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna. Model pengurusan Syeikh Haji ini kemudiannya diambil oleh Prof Diraja Ungku Aziz untuk menubuhkan Lembaga Urusan Dan Tabung Haji. Ia sebenarnya lebih kepada konsep penggabungan fungsi Syeikh Haji itu sendiri dalam sebuah organisasi yang lebih moden dan teratur. Syeikh Haji masih wujud hari ini dalam bentuk baru selepas penjenamaan semula yang dikenali agensi pengerjaan umrah.
Rujukan.
- Mohd Zulfadli Bin Md Maarof, Sheikh Haji Tanah Melayu: Aktiviti dan Operasi 1900-1950.
- Fadhil Bin Zakaria, Sejarah Ringkas Kapal Haji Sri Mekah Dan Sri Juddah
- KEDAH.1957. Single Passage To Pilgrims Taking Course Of Study In Mecca- Satu Bayaran Tambang Kepada Orang-Orang Haji Yang Pergi Belajar Di Mekah [Versi Melayu-Jawi] No Fail 2069/1347
- Mohammad Hosyn Farahani Edit Michael Wolfe, From A Shi’ite Pilgrimage To Mecca 1885-1886
- Yahaya Awang, Kapal Haji Dalam Kenangan
- TERENGGANU. Pemberitahu Kepada Orang-Orang Haji Di Dalam Kapal
- Joseph Pitts, Edit Michael Wolfe, Joseph Pitts England One Thousand Road To Mecca
- John Lewis Burcjhardt edit Michael Wolfe, Travel In The Hijjaz Of Arabia, One Thousand Roads To Mecca,
- Mohd Saleh b Hj Awang, Haji Di Semenanjung Malaysia Sejarah Dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405 H (1890-1985M