Tanda Sudah Bangkit Dari Kecewa

Beberapa hari lepas, saya menonton satu video syarahan anjuran TED Talk berkenaan topik vulnerability oleh Dr. Brene Brown, seorang professor di Universiti Housten. Tiada istilah yang tepat di dalam bahasa Melayu tetapi secara mudah untuk difahami, vulnerable bermaksud keterdedahan kita terhadap perkara-perkara yang kurang selesa dan menakutkan. Daripada kajian beliau, saya dapat merumuskan bahawa individu yang berani untuk mengambil risiko di dalam hidup adalah kebarangkaliannya lebih berjaya berbanding mereka yang takut dan tidak berbuat apa-apa. Namun, Brown menambah, berani itu perlu disaluti dengan keyakinan dan kepercayaan diri bahawa kita layak untuk mendapatkannya.

Seperti contoh, berani untuk bercinta kembali meskipun pernah dikhianati dan dilukai pada masa lalu dan di dalam masa yang sama percaya bahawa kita layak untuk mendapatkan cinta yang benar-benar ikhlas serta mampu beroleh kedamaian jiwa. Perkara ini mengingatkan saya kepada tulisan Timothy Ferris, “a person’s success in life can usually be measured by the number of uncomfortable conversations he or she is willing to have” di dalam bukunya, The 4 Hour Workweek. Tulisan kali ini bukanlah ingin membahaskan berkenaan vulnerability, tetapi tanda-tanda seseorang itu sudah bangkit dari kecewa atau biasanya dipanggil move on.

Jetpack Langkawi

Menyayangi Diri Sendiri

Mari kita berfikir sejenak. Kita dapat memberi hanya apa yang kita ada, itu adalah logik yang semua orang boleh faham. Contoh seperti wang, kita boleh memberi wang disebabkan kita memiliki wang tersebut. Jika kita tidak memiliki wang, tiadalah dapat kita berikan kepada sesiapa pun. Begitulah cinta. Bagaimana kita dapat memberi cinta kepada orang lain jika hati kita kosong tanpanya.

Tidaklah beriman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri”.

(Riwayat Bukhari)

Menyayangi diri sendiri bermaksud kita menghargai diri kita sendiri. Kita menjaga kesejahteraan diri, baik fizikal mahupun dalam jiwa. Apabila kita berkenalan dengan seseorang, penting untuk kita selidik sama ada dia sudah pun berpaling dari kisah lama atau pun masih hatinya bertaut pada kenangan lalu. Ini adalah penting supaya kita tidak terperangkap di dalam cinta rebound, yang mana kita hanyalah dijadikan sebagai luahan hati dan perasan seseorang, bukanlah cinta yang benar inginkan keikhlasan. Ambil tahu bagaimana dia melihat dirinya sendiri. Apakah perancangan jangkamasa pendek dan jangkamasa lama, adakah kita terlibat sekali di dalam rancangan hidupnya atau sekadar secebis kisah sehari-harinya.

Individu yang menyayangi diri mereka sendiri adalah lebih bersikap terbuka dan bertoleransi. Mereka tidak bersikap toksik terhadap orang lain, dan matang dalam setiap tindakan. Namun di dalam masa yang sama, mereka tidak boleh dipandang sewenangwenangnya ataupun dipanggil taken for granted, jika kita tidak mahu kehilangan mereka. Orang yang menyayangi diri sendiri mempunyai visi dan matlamat yang jelas, ke mara arah tujuan mereka. Bukanlah jika kita tanya ke mana hala tuju hubungan ini, mereka jawab tidak tahu atau ikutkan takdir. Mereka menjaga kebajikan diri mereka dan mengutamakan diri mereka terlebih dahulu sebelum memberikan kepada orang lain. Tetapi ini tidak bermaksud mementingkan diri sendiri ataupun tidak endahkan hal orang lain.

Dari segi kewangan, mereka mengutamakan pada simpanan dan hanya membelanjakan wang untuk keperluan yang penting. Dalam masa yang sama tidak kedekut untuk meraikan dan membuatkan orang yang mereka suka itu berasa seronok. Dari segi kesihatan, mereka tidak menggugat (jeopardize) diri mereka dan orang lain dengan risiko penyakit berbahaya, malah meluangkan masa untuk beriadah bagi kesejahteraan fizikal dan mental. Dari segi masa, mereka bijak meletakkan orang yang mereka suka berada di senarai atas dalam keutamaan meluangkan masa.

Berpijak Pada Masa Kini

Kehidupan kita terdiri daripada garis masa yang tegak bergantung pada setiap insan. Dalam garis masa tertentu, kita bertemu dengan orang lain mengikut garis masa mereka sendiri. Apabila hubungan itu tidak menjadi, seharusnya kita terus hidup pada garis masa yang telah berjalan. Bukan dengan cuba untuk kembali kepada pengalaman lampau, kerana masa itu bersifat relatif. Ibarat sebuah kereta, kita hanya menoleh ke belakang adalah langkah berjaga-jaga untuk memacu perjalanan, tetapi arah yang kita tuju adalah ke hadapan bukan belakang. Itulah pengalaman hidup bercinta. Kenangan yang lepas adalah sebagai langkah berhati-hati kita, namun tidak menjadi satu alasan untuk menghukum tindakan yang bakal dilakukan.

Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya”.

(Riwayat Muslim)

Individu yang sudah move on tidak akan sekali-kali berpijak pada kenangan lampau. Mereka hanya menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dalam hidup, tidak lebih dari itu. Bahkan apa yang telah berlaku itu adalah sesuatu yang membantu mereka untuk lebih bersyukur akan kehidupan mereka. Jika ditanya pada mereka mengenai pengalaman lampau itu, individu yang sudah bangkit dari kecewa pasti akan menjawab itu adalah antara perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup mereka. Tiada intonasi kekesalan, malah mereka bersyukur pengalaman itu sudah berlalu.

Bukan sahaja kita bercakap tentang masa lalu tetapi masa hadapan juga termasuk dalam perbahasan ini. Individu yang meratapi kejadian lalu adalah sama dengan gelisah pada apa yang bakal berlaku, mereka tidak live in the moment. Secara fizikalnya mereka ada pada waktu ini tetapi hati dah perasaan mereka masih terpaut pada waktu dulu ataupun mengintai waktu akan datang. Mereka trauma dan takut pada masa mendatang akan terjadi kejadian lepas berulang kembali sehinggakan mereka lupa untuk berpijak pada masa kini. Saya teringat pada sebuah filem bertajuk Passengers (2016) yang dibintangi oleh Jennifer Lawrence dan Chris Pratt. Terdapat satu dialog yang menarik perhatian saya, berbunyi “you can’t get so hung up on where you’d rather be that you forget to make the most of where you are”. Filem ini mengisahkan sekumpulan orang yang terperangkap dalam perjalanan antara bintang sehingga lupa untuk berpijak pada waktu kini.

Apabila kita sudah bangkit dari kekecewaan, kita merasa syukur atas apa yang telah berlaku. Kejadian lalu kita hargai dan harapan akan datang kita usahakan yang terbaik. Usaha itu pula dengan menjadikan saat dan waktu sekarang lebih bermakna tanpa perlu berhenti. Kita percaya bahawa Allah tentukan yang terbaik untuk kita dan perlu diusahakan dengan gigih untuk mendapatkan kebaikan dari-Nya.

Matang Dalam Setiap Tindakan

Apabila seseorang sudah pun teruskan kehidupan dengan baik setelah mengalami kekecewaan hati, mereka menjadi lebih matang dan bersikap terbuka. Mereka lebih toleransi terhadap orang lain dan memahami. Walaupun mereka menemui orang bersifat toksik, mereka tetap kuat menangani orang seperti itu tanpa membiarkan orang lain memanipulasi mereka.

Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapusnya dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.”

(Riwayat Tirmizi)

Orang yang sudah bangkit sibuk untuk menjalani hidup mereka dengan baik. Kerana umum sedia tahu bahawa hidup kita adalah singkat sahaja dan lebih baik dipenuhi dengan kebaikan-kebaikan sebagai bekalan kita di akhirat sana. Mereka tiada masa untuk bermain- main dan tidak serius dalam perhubungan. Mereka lebih memikirkan ke mana untuk bawa hubungan baru pada masa akan datang berbanding hujung minggu nanti hendak keluar ke mana. Mereka lebih banyak memikirkan langkah seterusnya daripada berkata “tengoklah macam mana”. Semua ini adalah kerana mereka pernah melalui pengalaman yang teruk dan pahit, sehinggakan mereka tidak mahu saat itu berulang kembali pada diri mereka mahupun pada orang yang mereka suka. Meskipun hubungan baru yang dijalin mungkin tidak menjadi, namun mereka meraikan orang yang mereka suka itu dengan baik.

Mereka percaya bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan dan keputusan Allah. Individu seperti ini tidak pernah sekali-kali menyalahkan sesiapa mahupun menyalahkan takdir atas apa yang telah berlaku.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya

(Al-Fajr 89: 27-28)

Tanda seseorang itu sudah move on ialah mereka meraikan dengan baik apa yang telah berlaku. Setiap tindakan seterusnya pula akan mereka lakukan dengan niat yang baik dan tidak bersifat meresahkan jiwa. Ini kerana mereka telah belajar melalui pengalaman pahit. Di awal perenggan, saya menulis tentang konsep vulnerable dalam percintaan secara ringkas berdasarkan syarah TED Talk. Tanpa menjadikan diri kita vulnerable kepada seseorang, kita tidak akan mampu mencintai sepenuhnya. Seperti mana tulisan oleh C.S Lewis di dalam bukunya, The Four Loves, “to love at all is to be vulnerable”. Kerana hati yang ditutup dan enggan untuk dicintai tidak akan dapat mencintai. Semoga Allah kurniakan kita dengan perasaan cinta yang ikhlas dan baik.

Bacaan Cadangan:

1. 4 Clear Signs That It’s Time to Let Go of a Relationship

https://ift.tt/2C2ct2u

2. The power of vulnerability | Brené Brown

Artikel adalah sumbangan Baha’uddin Hamizan untuk The Patriots.

Post a Comment

Previous Post Next Post