5 Burung Terbesar Di Dunia

Burung datang dari pelbagai jenis, saiz dan lokasi yang berbeza. Ada yang bersaiz besar, kecil, tinggi atau rendah. Ada yang boleh terbang di angkasaraya dengan bebas dan ada juga yang tidak boleh terbang tapi mampu berlari pantas. Walaupun makhluk ciptaan Tuhan ini nampak biasa saja di mata kita tetapi dalam dunia ini, sesetengah burung ini menjadikan dunia kita amat menarik dan unik.

1. Burung unta

Jetpack Langkawi

Dengan leher yang panjang dan bulu berwarna coklat, ini menjadikan burung unta sebagai burung tertinggi dan terberat di dunia. Bagi burung unta betina, ia boleh mencecah ketinggian enam kaki dan berat sehingga 200 paun. Sementara burung unta jantan pula boleh mencecah ketinggian sembilan kaki dan berat 280 paun. Bebola matanya saja berukuran dua inci dan ia disempadani oleh bulu mata yang panjang menjadikan burung unta pemilik mata terbesar bagi mana-mana binatang darat. Selain itu, burung unta juga memegang rekod sebagai memiliki telur terbesar di dunia. Dengan berat melebihi tiga paun, satu telur burung unta mempunyai berat sama dengan dua dozen telur ayam.

Burung unta tidak boleh terbang berikutan ia lebih berat berbanding spesis burung yang lain. Tetapi ia berkemampuan berlari dengan pantas sehingga mencecah kelajuan 43 batu sejam untuk pecutan jarak dekat atau mengekalkan kelajuan 31 batu sejam pada satu-satu masa. Ini disebabkan dua kakinya yang panjang yang boleh meliputi ruang 16 kaki pada satu-satu masa. Berkenaan mitos burung unta akan menyembunyikan kepalanya dalam pasir bila ia merasa takut, itu sebenarnya mitos semata-mata. Ini kerana burung itu boleh melepaskan diri dari kebanyakan situasi dengan berlari pecut dan menggunakan sayap mereka itu untuk mengekalkan keseimbangan dan mengubah arah larian. Sekiranya itu gagal, burung unta akan menjatuhkan dirinya atas tanah dan kekal diam sehinggalah ancaman tersebut berlalu. Jika kita melihatnya dari jauh, pasti kita menyangka burung unta itu menyembunyikan kepalanya dalam pasir. Itu sebenarnya ilusi optik yang disebabkan oleh kepala dan lehernya yang berwarna pudar serta habitat savana yang berpasir itu sendiri.

2. Great Bustard

Burung Great Bustard dianggap burung paling berat dalam spesis burung yang boleh terbang di udara. Maka tidak hairanlah, mengapa sesetengah pengkaji burung atau ahli ornitologi menggelarnya ‘the flying fortress’ (kubu terbang). Burung ini biasanya mempunyai berat 35 paun tapi dalam satu kes, berat terbesar pernah dicatat Great Bustard ialah lebih 46 paun. Kalau dilihat dari jauh, ia menyerupai angsa tetapi Great Bustard mempunyai kaki yang lebih panjang dan leher yang lebih lurus berbanding angsa. Sementara burung jantan mempunyai berat 30% melebihi burung jantina dan boleh dikenali menerusi dada dan leher mereka yang jelas kelihatan serta ekor mereka yang menegak.

Burung ini hidup dalam habitat padang rumput yang luas lagi terbuka seperti padang Steppe di Eropah dan selatan Rusia. Great Bustard memang diketahui sebagai burung yang pendiam tetapi pada musim mengawan, ia berkemampuan mengeluarkan bunyi yang kuat bila berlawan dengan burung jantan lain untuk mendapatkan burung betina.

3. Big Bird orginal

Jika kita menonton rancangan televisyen PBS Sesame Street, kita pasti akan terhibur dengan telatah Big Bird dan rakan-rakannya. Pasti kita sangka, burung jenis ini tiada dalam dunia hari ini dan dianggap fiksyen semata-mata. Hakikatnya, ada satu burung prasejarah yang pernah menghuni bumi Australia lapan juta tahun lalu. Burung tersebut dikenali dengan nama saintifik Dromornis stirtoni. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 10 kaki dan berat lebih 900 paun, sama dengan berat sebuah granpiano.

D. stirtoni mempunyai paruh yang besar dan luas, sayap yang kontot dan kaki yang panjang dan berotot di mana tapaknya menyerupai tapak kaki huf. Ini menjadikannya pelari laju sama seperti burung unta dan emu pada zamannya. Selain itu, bentuk badannya seperti sudu diliputi dengan bulu-bulu yang tebal. Bagaimanapun, para saintis masih tertanya-tanya apakah makanan kegemaran burung prasejarah itu. Ini kerana menurut ahli ornitologi David Bird, paruh sebegitu memberi petunjuk D. stirtoni ialah haiwan karnivor. Hakikatnya, ia sebenarnya haiwan herbivor yang memakan buah yang berkulit keras dan pod biji benih.

4. Si pengembara albatros

Burung albatros sememangnya dikenali sebagai burung yang mampu terbang pada jarak yang jauh. Ini disebabkan sayapnya yang paling panjang dalam dunia burung dengan ukuran 11 kaki merentasi kedua-dua sayapnya. Dengan berat antara 17 hingga 25 paun dan panjang tiga setengah kaki dari ekor hingga kepala, ia amat membantu burung ini melakukan perjalanan jauh. Menurut Bird, burung ini menghabiskan masanya di Laut Selatan dan diketahui mengelilingi laut berkenaan tiga kali setiap tahun. Dan berdasarkan satu laporan, ia berkemampuan terbang dengan jarak 3,728 batu dalam tempoh 12 hari. Jarak tersebut sama dengan jarak perjalanan dari New York ke Amsterdam.

Albatros makan dengan terjun menjunam dan mengesan permukaan air, tempat sama mereka muncul bila matahari terbenam. Diet pemakanan mereka ialah hidupan laut seperti ikan dan sotong. Adakalanya, burung ini akan mengikut bot-bot nelayan untuk memakan sisa-sisa ikan yang dibuang bot-bot berkenaan. Albatros berkemampuan untuk makan banyak sehinggakan pada satu ketika, burung ini perlu terapung di atas air dan mengunyah makanannya terlebih dahulu sebelum boleh terbang semula di angkasaraya.

5. Moa New Zealand

Jika Australia pernah menyaksikan D. stirtoni merayau di buminya atau lebih tepat, wilayah tengah Australia, New Zealand pula menyaksikan burung Moa pernah menghuni New Zealand satu ketika dahulu. Menurut Bird, walaupun ada sesetengah burung yang sama spesis seperti Moa mempunyai ketinggian seperti ayam belanda, Moa merupakan spesis burung pupus paling tinggi dalam dunia burung. Seperti D. stirtoni, ia juga merupakan haiwan herbivor yang memakan biji benih, buah-buahan, daun dan rumput. Dan untuk membantu proses pencernaan makanan, Moa juga akan menelan batu sebesar empat inci. Burung jantina pula akan membuat sarang dengan mengorek lubang. Selama berjuta-juta tahun, ia merayap di habitat mereka sebelum pupus 600 tahun lalu. Dan ramai beranggapan kepupusan burung ini berpunca daripada aktiviti pemburuan yang dilakukan peneroka-peneroka Polynesia yang meneroka New Zealand ketika itu.

6. Burung falko peregrine

Burung falko peregrine merupakan antara burung falko terbesar di Amerika Utara. Walaupun diakui sebagai antara burung paling laju di dunia, ianya tidaklah selaju burung merganser berdada merah. Bila ia membuat terjunan menjunam, burung ini berkemampuan melakukannya dengan kelajuan 320 kilometer sejam. Burung falko peregrine dewasa boleh dikenali menerusi bulunya yang berwarna biru-kelabu manakala bahagian bawah badannya berwarna putih. Ia boleh membesar antara 14 hingga 19 inci panjang dan mempunyai berat tiga paun. Dengan kuku kakinya yang tajam dan berbentuk cangkuk, burung ini mampu memburu mangsanya seperti burung merpati dan itik. Dan bagi membolehkan menanti masa sesuai untuk menyerang, burung falko peregrine akan menunggu di atas dahan-dahan tinggi.

Namun pada satu ketika, populasi burung itu terancam akibat masalah pencemaran berikutan penggunaan bahan kimia seperti DDT. Ini kerana bahan kimia itu boleh menyebabkan telur burung berkenaan mudah pecah, lebih-lebih lagi sekiranya burung itu duduk di atas telur mereka. Namun terima kasih kepada campur tangan kerajaan terutama perubahan undang-undang alam sekitar, populasi burung falko peregrine kembali pulih dan semakin berkembang. Kini, ia boleh dilihat di mana-mana bangunan tinggi atau pencakar langit seperti menara tangki air dan tebing tinggi.

SUMBER

Zachos, Elaina. (2018). National Geographic. The Biggest Bird That Ever Lived and 5 More Bird Superstars. https://ift.tt/2PORBi1

Post a Comment

Previous Post Next Post