Selepas tiba di Maluku, Belanda memperluas rancangan mereka mahu menguasai laluan perdagangan keluar masuk rempah dari Maluku, selain mengalihkan prospek perdagangan dunia dari terus menerus fokus kepada entreport Melaka milik Portugis semata-mata.
Hasilnya, selepas menjerut pemerintah Ambon untuk mempersetujui perjanjian berat sebelah dan menguasai cengkihnya, Belanda mula menjeling kepada Kepulauan Banda dan komoditi buah pala mereka.
Usai mengangkat Batavia (Jakarta) sebagai ibu kota Kompeni Hindia Timur Belanda (VOC), pada 1621, Jan Pieterszoon Coen mengetuai pelayaran dan operasi ketenteraan ke atas Kepulauan Banda, dengan niat mahu menguasai tanah yang subur dan komoditi buah palanya.
Operasi ketenteraan tersebut menyaksikan sehingga 15,000 pimpinan masyarakat dan penduduk Kepulauan Banda dibunuh. Lebih 90% penduduk Kepulauan Banda dibunuh, manakala yang ditinggalkan sekadar cukup untuk diperhambakan di ladang-ladang buah pala di situ.
Selesai kempen tersebut, Coen memulakan langkah seterusnya untuk menstrukturkan kembali urustadbir dan ekonomi komoditi buah pala di Kepulauan Banda.
Dia membahagikan seluruh Kepulauan Banda kepada 68 bahagian, untuk kemudiannya diserahkan pula kepada 68 orang tuan tanah Belanda, kebanyakannya pernah atau sedang berkhidmat dengan VOC.
Tuan tanah baharu ini mengambil terus apa yang pada asalnya hak milik pimpinan masyarakat, ‘Orang Kaya’ di Kepulauan Ambon sendiri, menguasai sepenuhnya komoditi buah pala dunia ketika itu.
Mereka diajar dan diberi latihan menggunakan hamba yang terdiri dari penduduk asal Kepulauan Banda bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan menanam buah pala.
Tuan-tuan Belanda ini diberi kebebasan untuk memperhambakan semula saki baki penduduk asal, termasuk pimpinan masyarakat mereka untuk bekerja di ladang-ladang buah pala ini.
Keadaan yang teruk dan buruk, kebajikan buruh paksa yang tidak dipedulikan oleh tuan Belanda ini membawa kepada kemerosotan populasinya akibat perhambaan atas tanah mereka sendiri.
Tuan-tuan Belanda ini kemudiannya membeli pula hamba yang di bawa masuk VOC sendiri dan pedagang hamba lain dari jajahan seluruh Indonesia, menyuburkan pula pasaran hamba serantau ketika itu.
Belanda yang sedar akan kepentingan Kepulauan Banda ini untuk mengawal bekalan komoditi buah pala pernah sekitar penghujung kurun ke-17 mengarahkan supaya pengeluaran buah pala dihadkan bertujuan menaikkan harga komoditi tersebut.
Tindakan VOC ini memutuskan hampir 60% bekalan buah pala dunia, sekaligus menaikkan harga komoditi tersebut hingga dua kali ganda dari harga asal.
Konsep ‘plantation society’ yang diperkenalkan VOC ini menjadikan mereka cekap mentadbir tanah jajahan di Kepulauan Banda, malah cemerlang pula mengaut keuntungan atas kekejaman pembunuhan beramai-ramai penduduk asalnya juga dalam industri perdagangan hamba serantau.
Model ‘bagai Belanda minta tanah’ ini diperluaskan ke seluruh Maluku dan rantau sekitarnya, memberikan implikasi fizikal dan psikologi kepada perkembangan ekonomi dan sosiobudaya, urustadbir politik di seluruh Asia Tenggara.
Dinyatakan di dalam “Why Nations Fail” oleh Acemoglu dan Robinson, model rakus Belanda ini bahkan menyebabkan kepesatan jajahan kolonial lain juga kerajaan berdaulat lain yang telah mula berkembang sejak kurun ke-14 lagi mengalami simptom “reversing development” atau ringkasnya kemunduran pembangunan.
Perkembangan urustadbir sivil dan kerajaan yang bukan di bawah pengaruh VOC semakin dipinggirkan dan menjadi lebih tertutup bagi rantau ini.
Potensi dan prospek kemajuan perdagangan antara pusat perniagaan serantau Asia Tenggara ketika itu terbantut lesu.
Ada saki baki kerajaan berdaulat yang tinggal seperti kerajaan Bintan, pada 1620 telah menghapuskan ladang-ladang lada hitam mereka kerana mahu mengelak dari dicemburui VOC Belanda.
Begitu juga keadaannya di Mindanao. Raja Mindanao memusnahkan semua tanaman buah pala dan cengkih kerana tidak mahu Belanda datang, membunuh dan merampas tanah mereka.
Bagi negeri-negeri ini, menjadi “autarki” (berdagang secara terhad dan tertutup) adalah pilihan yang jauh lebih baik dari ‘Belanda minta tanah’.