Helios 522: Penerbangan Terakhir Yang Berhantu

Penerbangan terakhir MH370 pada 8 Mac 2014 dan MH17 pada 17 Julai 2014 merupakan siri-siri kemalangan dalam dunia penerbangan komersial yang amat jarang berlaku dan sudah pasti menjadi igauan khususnya kepada rakyat Malaysia yang merasai kehilangan sejumlah 93 orang warganegara.

Bagi rakyat di Cypria pula, sebuah negara kecil di Eropah yang terletak di Lautan Mediterranean, 14 Ogos 2005 menandakan satu tarikh hitam yang melibatkan kehilangan nyawa 107 orang warganegaranya apabila sebuah pesawat komersial di bawah syarikat penerbangan tempatan, Helios terhempas di kawasan berbukit Grammatiko, Greece. Pesawat Helios 522 dari model Boeing 737-31S itu digelar ‘Pesawat Berhantu’ kerana keadaannya beberapa detik sebelum terhempas adalah sangat menyeramkan.

Pesawat Helios 522 telah dijadualkan untuk terbang dari Larnaca, Cypria ke Prague, Republik Czech dan transit di Athens, Greece. Sehari sebelum pesawat itu terhempas, ia telah melakukan penerbangan dari Heathrow ke Larnaca. Semasa penerbangan, kru pesawat telah terdengar bunyi bising seperti sesuatu dihentak-hentak di pintu belakang kanan pesawat. Oleh itu, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Larnaca, mereka meminta jurutera untuk memeriksa pintu tersebut. Jurutera telah membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan tekanan dengan menukar sistem tekanan kepada mod ‘manual’. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa tiada masalah di bahagian pintu tersebut dan pesawat dibenarkan untuk berlepas. Namun, kecuaian terjadi apabila jurutera tersebut gagal untuk menukar sistem tekanan kepada mod ‘Auto’ setelah selesai menjalani pemeriksaan.

Kapten kapal, Hans-Jurgen Merten dan pegawai pertama Pambos Chalarambos berlepas bersama 115 penumpang dan 4 kru pada jam 6.07 pagi waktu tempatan. Kru pesawat memberitahu menara kawalan Nicosia bahawa kapal akan terus mendaki sehingga 2,000 kaki setelah 3 minit di udara dan diterima oleh menara kawalan. Kru pesawat seterusnya membuat permintaan untuk mendaki sehingga 34,000 kaki sebagai ketinggian penerbangan mereka sehingga ke Athens. Permintaan itu juga turut diterima oleh menara kawalan. Komunikasi ini dianggap komunikasi terakhir antara kru pesawat dan menara kawalan.

Setelah 6 minit dalam penerbangan, isyarat kecemasan altitud berbunyi apabila pesawat berada di altitud 12,040 kaki. Kru di dalam kokpit menganggap bahawa terdapat kesilapan pada sistem amaran ‘take-off configuration’ kerana bunyinya yang sama. Di kabin penumpang pula topeng oksigen terkeluar secara automatik memandangkan tekanan kabin yang rendah. Topeng oksigen terkeluar secara automatik ketika pesawat berada di altitud 18,000 kaki. Satu isyarat amaran suhu tinggi berbunyi, menyebabkan kru kapal terpinga-pinga dan mula menghubungi pusat operasi Helios.

Waqaf Saham

Kapten kapal yang menyangka bahawa sistem pendingin hawa tertutup secara automatik bertanya jurutera di radio mengenai lokasi ‘circuit breaker’ untuk sistem itu. Jurutera menjawab ‘circuit breaker’ berada di belakang tempat duduk kapten. Jurutera juga bertanya sama ada panel sistem tekanan berada dalam mod ‘Auto’ namun dijawab kembali dengan soalan mengenai lokasi ‘circuit breaker’ terbabit. Tekanan yang rendah menyebabkan kru kapal mengalami hipoksia, iaitu kekurangan oksigen di dalam badan dan menyebabkan mereka menjadi bercelaru dan akhirnya tidak sedarkan diri. Pesawat itu pula terus mendaki sehingga ke ketinggian yang ditetapkan pada 34,000 kaki. Pusat operasi cuba menghubungi kru kapal tetapi tiada respon diterima.

Pesawat mula memasuki ruang udara Athinai pada jam 6.37 pagi tetapi tiada respon diterima apabila cuba dihubungi oleh menara kawalan Athinai. Sistem Autopilot membolehkan pesawat berada di altitud yang sama dan menggunakan laluan yang ditetapkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Athens. Ketika ini, pesawat sepatutnya turun ke altitud yang lebih rendah sebagai persiapan untuk mendarat tetapi ia tetap berada di altitud yang sama. Menara kawalan Athinai telah cuba menghubungi pesawat sebanyak 11 kali namun masih tiada respon. Akhirnya, mereka memberitahu menara kawalan Athens dan Tentera Udara Hellenic, Greece tentang situasi Helios 522.

Pada jam 8.23 pagi, dua jet pejuang F-16 dari Tentera Udara Hellenic berjaya memintas pesawat komersial tersebut dan juruterbang cuba mencari kerosakan pada fiuslaj pesawat namun tiada kerosakan atau kebakaran yang ditemui. Juruterbang jet cuba menghubungi kru pesawat melalui frekuensi radio tentera tetapi tetap gagal. Menurut juruterbang F-16 tersebut, dia mendapati tiada orang di tempat duduk kapten dan melihat pegawai pertama tidak bergerak di tempat duduknya. Juruterbang juga melihat tiada sebarang pergerakan di kabin penumpang dan mendapati beberapa orang penumpang memakai topeng oksigen di mulut mereka. Keadaan yang sunyi di dalam kabin persis sebuah filem seram. Juruterbang jet cuba menggunakan bahasa isyarat untuk mendapatkan perhatian kru kapal namun tidak berhasil.

20 minit kemudian, juruterbang F-16 melihat pergerakan seseorang yang memakai baju biru muda dan jaket gelap memasuki ruangan kokpit pesawat dan duduk di tempat duduk kapten. Orang itu ialah pramugara Andreas Prodromou yang masih sedarkan diri dengan menggunakan balang oksigen mudah alih. Beliau yang juga memiliki lesen penerbangan komersial UK cuba mengawal pesawat tersebut dan melambai ke arah juruterbang jet. Malang tidak berbau apabila enjin sebelah kiri terpadam kerana kekurangan minyak dan pesawat mula kehilangan altitud. 10 minit kemudian, enjin sebelah kanan pula terpadam, menyebabkan kehilangan altitud yang mendadak.

Akhirnya, pesawat tersebut terhempas di lereng bukit pada jam 9.03 pagi, menyebabkan keseluruhan fiuslaj pesawat berkecai dan dijilat api. Kesemua 121 penumpang dan kru pesawat mati di tempat kejadian.

Menurut siasatan, kecuaian jurutera dan kru kapal yang tidak memastikan panel tekanan pesawat dalam mod ‘Auto’ merupakan punca mereka kekurangan oksigen dan mengalami hipoksia. Kesan dari kejadian itu menyebabkan CEO, COO, ketua juruterbang dan ketua jurutera syarikat Helios dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun oleh mahkamah Greece atas tuduhan bunuh. Autopsi ke atas mayat juga mendapati penumpang dan kru pesawat sebenarnya masih hidup sebelum pesawat terhempas.

Rujukan:

  1. Weir, Andy (2006, 19 Disember). Behind Closed Doors, The Guardian. Rujukan dari https://ift.tt/2qkuHn7
  2. Psyllides, George (2015, 9 Ogos). The Downing of Flight 522, Cyprus Mail Online. Rujukan dari https://ift.tt/2QdOoZm
  3. Accident Investigation and Aviation Safety Board (AAIASB) (2006). Aircraft Accident Report. Athens, Republic of Hellenic, Ministry of Transport and Communication.

Artikel disumbangkan oleh Zudin Fahmi untuk The Patriots. 

Post a Comment

Previous Post Next Post