Semasa diberi peluang menjadi jurumudi untuk Titanic, Robert Hichens ketika itu berada di kemuncak kariernya. Tugas sebagai jurumudi kapal paling mewah pada zamannya satu tugas yang tidak patut dilepaskan. Tetapi sebaliknya, ia sebenarnya menjadi pencetus kepada mimpi ngeri yang memberi kesan mendalam bukan saja terhadap Hichens, malah terhadap keluarga dan reputasinya untuk tahun-tahun mendatang.
Anak kelahiran Newlynn ini dilahirkan pada tahun 1882 dan merupakan anak kedua daripada 10 adik-beradik. Semasa kecilnya, kehidupan keluarganya amat susah dengan duit dan makanan sentiasa tidak mencukupi. Dan menjelang perubahan abad ke-20, bapanya Philip Hichens menasihatkan Robert mencari pekerjaan lain daripada terus hidup menjadi seorang nelayan. Pada usia 19 tahun, beliau menyertai Tentera Laut Simpanan atas permintaan bapanya kerana ketika itu, ia menawarkan program latihan kerajaan. Ia merupakan satu langkah yang baik kerana sebaik selesai menyertai program, Hichens menyertai perkhidmatan kapal komersial.
Pada tahun 1906, beliau mengahwini seorang wanita bernama Florence Mortimore yang dikenali semasa berada di Torquay ketika berkhidmat di atas kapal layar Ariano. Semasa Hichens memulakan tugasnya bersama Titanic, dia berpindah ke Southampton bersama isteri dan dua anak perempuannya. Pada ketika itu, ia bukan satu tugas mudah bekerja di atas kapal lebih-lebih lagi dengan mogok pekerja arang batu yang menjejaskan kerja sebagai kelasi. Tetapi rekod dia sama sekali tidak terjejas dan membuka ruang menjadi anggota krew dek kedua menyertai kapal malang itu. Sebelum Titanic memulakan pelayaran sulungnya ke New York, Hichens berada di atas kapal selama empat hari untuk mengetahui selok-belok Titanic.
Tetapi apa yang saya katakan itu akhirnya menjadi kenyataan. Pada tengah malam 15 April 1912, Hichens mengemudi kapal berkenaan tatkala ia berlanggar dengan aisberg. Dan kurang sejam selepas insiden perlanggaran berlaku, dia tidak lagi dibenarkan mengendali kemudi dan diarah menguruskan bot keselamatan nombor enam. Hichens berjaya menyelamatkan lebih 40 penumpang termasuk penumpangnya yang paling terkenal, Margaret ‘Molly’ Brown. Brown mendesak dia berpatah balik untuk menyelamatkan lebih ramai penumpang tetapi Hichens enggan berbuat demikian.
Atas sebab itulah dalam keterangannya kepada media, Brown melabel dia sebagai pengecut dan pembuli. Tetapi menurut cicit Hichens bernama Sally Nilsson, ada logik di sebalik tindakannya itu. Ini kerana pada ketika itu, dengan keadaan malam yang gelap dan tanpa sinaran bulan menyukarkan dia mencari arah kembali ke kapal seperti mana yang diarahkan Kapten Edward Smith. Selain itu, ada 16 bot penyelamat Titanic turut mengalami situasi sama seperti yang dihadapi Hichens.
Kenyataannya itu diulangi semasa sesi pendengaran berkenaan tragedi Titanic, kedua-duanya diadakan di London dan New York. Untuk memastikan kenyataan Hichens benar-benar konsisten, dia diletakkan di bawah tahanan rumah semasa sesi pendengaran dijalankan. Selepas tragedi itu, dia terus bekerja bersama syarikat White Star Line di mana ramai mengandaikan antara sebab Hichens berbuat demikian ialah syarikat sedia membayar gaji lumayan sebagai pertukaran untuk menutup mulut atau bimbang tidak dapat mencari pekerjaan lain. Atas sebab itulah, White Star Line menghantarnya ke Afrika Selatan, jauh dari England sekaligus menyebabkan dia terpisah dengan keluarganya.
Selepas Perang Dunia Pertama meletus, Hichens kembali semula ke England pada tahun 1914 dan berkhidmat sebagai jurumudi di kapal Tentera Laut, HMS Victory yang berada di Portsmouth. Tetapi pihak tentera memberi perlepasan kepada dia selepas didapati mengalami neurasthenia, satu keadaan yang kita ketahui hari ini sebagai kecelaruan stres pascatrauma (PTSD). Untuk tempoh 20 tahun seterusnya, ia menjadi mimpi ngeri kepada Hichens berikutan dia mudah letih, serangan panik, sakit kepala dan mengalami perubahan mood. Dan kadangkala, dia turut mengalami mimpi ngeri sehingga terbangun pada tengah malam.
Walaupun tidak diketahui sama ada mimpi berkenaan ada kaitan dengan tragedi Titanic tetapi ianya berkemungkinan dan sudah pasti menghantuinya sepanjang masa. Isu PTSD yang menghantui Hichens sebenarnya dialami oleh majoriti 705 penumpang Titanic yang terselamat. Menurut pengkaji Titanic, Mandy Le Boutillier pada ketika itu, PTSD masih belum difahami dan mereka tiada sokongan untuk menghadapinya. Le Boutillier menambah, “Bagi kebanyakan mangsa yang terselamat, ia merupakan satu pengalaman menakutkan yang mempengaruhi kehidupan mereka untuk tahun-tahun berikutnya.”
Pada tahun 1920-an, Hichens dan keluarganya kembali berpindah ke Torquay dengan dia membeli sebuah kapal persiaran kecil bernama Queen Mary. Tetapi untuk mendapatkan kapal berkenaan, dia perlu membuat dua pinjaman dengan seorang lelaki bernama Harry Henley. Henley sentiasa menyusahkan hidup Hichens dengan mendesaknya menyelesaikan pinjaman yang diambil. Selain tekanan dari Henley, suasana kemelesetan ekonomi semasa era The Great Depression mengakibatkan tiada lagi penumpang untuk kapal turut menekan perasan jurumudi itu.
Ini mendorong Hichens menjadi kaki botol tetapi ia memberi kesan kepada perkahwinannya di mana Florence meninggalkannya dan kembali ke Southampton selepas mereka sekeluarga dihalau keluar dari rumah kerana gagal membayar tunggakan sewa. Tiada kerja, bersendirian, tiada rumah dan dihantui oleh masalah neurasthenia, dia bergerak ke seluruh negara mencari pekerjaan dengan tabiat minumnya menjadi semakin buruk.
Hichens menyalahkan Henley kerana meletakkannya dalam situasi berkenaan dan ini mendorongnya membeli sepucuk pistol revolver. Sekembalinya ke Torquay, dia cuba membunuh Henley dengan menembaknya di kepala tetapi peluru tidak mengenai tengkorak kepalanya dan hanya mengakibatkan luka luaran saja. Henley berjaya melarikan diri dan meminta bantuan pihak polis. Sebaik pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, Hichens cuba membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri tetapi hanya melukakan hidungnya.
Selepas ditahan, polis menemui sekeping nota yang menyatakan keinginan dia membunuh Henley dan membunuh dirinya. Semasa dalam tahanan, Hichens sekali lagi cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya tetapi berjaya diselamatkan. Selepas didapati bersalah atas cubaan bunuh, dia dihukum penjara selama lima tahun tetapi tempohnya dikurangkan atas dasar belas kasihan hakim.
Semasa dipenjarakan di Penjara Parkhurst, Isle of Wright, Hichens berjaya memulihkan hubungannya dengan Florence dan selepas dibebaskan, kembali semula ke rumah keluarga mereka di Southampton. Tetapi bahagia yang dicari tidak kunjung tiba kerana Hichens diuji pula dengan kanser otak yang menimpa isterinya yang tercinta. Dia setia berada di sisi Florence sehinggalah dia terlalu lemah untuk berada di rumah dan dipindahkan ke rumah penjagaan di Southampton. Sebaik dimasukkan ke rumah penjagaan, Florence kembali menemui Penciptanya. Sedih dengan pemergian isteri tercinta ditambah dengan masalah jantung, Hichens memberitahu seorang rakan bahawa dia tidak mahu hidup dan enggan melihat England lagi.
Pada tahun kedua Perang Dunia Kedua atau 1940, Hichens kembali semula ke laut dan bekerja sebagai pegawai ketiga sebuah kapal kargo bernama English Trader. English Trader berperanan sebagai kapal yang membawa barangan berulang-alik dari Afrika ke Britain, selalunya tanpa iringan kapal tentera laut dan terdedah kepada ancaman Luftwaffe. Pada 23 September 1940 ketika usia mencecah 58 tahun, Hichens meninggal dunia akibat masalah jantung semasa ia berada di luar perairan Aberdeen, Scotland ditemani oleh kapten kapal berkenaan. Bagi Nilsson, dia menganggap moyangnya mati akibat patah hati. Dia menambah, “Dengan semua kajian yang saya lakukan, saya mendapati dia seorang lelaki yang penyayang, lucu, sangat mengambil berat dan setia.”
SUMBER
- Merritt, Anita. (2018). Daily Mirror. Robert Hichens: How ‘man who sank the Titanic’ spiralled into depression before being jailed for attempted murder. https://ift.tt/2KC5qAO
- Nancarrow, Sally. (2012). BBC. Ruined life of Robert Hichens – ‘the man who sank Titanic’. https://ift.tt/2Ap7JkA