Bahasa Tiruan Di Seluruh Dunia

Bahasa Tiruan ataupun Conlang (Constructed Languages) adalah bahasa yang dibentuk bukan secara semulajadi sama ada daripada segi bunyi, tatabahasa dan perbendaharaan kata. Bahasa Tiruan juga boleh dirujuk sebagai bahasa buatan, dirancang ataupun dicipta. Antara sebab pembentukkan bahasa tiruan adalah untuk memudahkan komunikasi manusia, penciptaan seni, permainan bahasa ataupun sebagainya.

Antara contoh bahasa tiruan adalah bahasa Esperanto. Bahasa Esperanto adalah bahasa tiruan yang paling luas jumlah penuturnya. Bahasa yang dicipta oleh Ludwik Łazarz Zamenhof (1859-1917) pada tahun 1887 itu mempunyai 2 juta penutur bahasa Esperanto di seluruh dunia. Untuk tulisan, bahasa ini menggunakan tulisan Latin. Kosa kata daripada bahasa Romanik dan Jermanik manakala tatabahasa daripada bahasa Slavik. Lernu!, Wikipedia, Google Translate dan Duolingo adalah contoh aplikasi dalam talian yang mempunyai bahasa Esperanto. Antara ayat lazim dalam bahasa ini adalah “Saluton, mia nomo estas Marko. Mi ĝojas, ke mi povas konatiĝi kun vi.” yang bermaksud “Helo, nama saya Marco. Selamat berkenalan.”.

Bahasa Klingon ataupun tlhIngan Hol [ˈt͡ɬɪ.ŋɑn xol] juga adalah sebuah bahasa tiruan. Bahasa ini dicipta oleh Marc Okrand, James Doohan dan Jon Povill untuk filem dan siri televisyen Star Trek. Pada tahun 1996, belasan penutur telah fasih bertutur dalam bahasa ini. The Klingon Dictionary (TKD), Power Klingon (PK) dan Klingon Language Suite adalah contoh sumber pembelajaran kepada sesiapa yang ingin mempelajari bahasa tersebut. Terdapat dua sistem tulisan dalam bahasa Klingon iaitu tulisan Latin dan huruf Klingon. Contoh ayat lazim dalam bahasa ini adalah “nuqneH, makO’oH pongwIj’e’. qaqIHmo’ jIQuch.” yang bermaksud “Helo, nama saya Marco. Selamat berkenalan.”.

Toki Pona [ˈto̞ki ˈpo̞na] adalah antara bahasa tiruan yang dikenali oleh peminat bahasa. Bahasa ini dicipta oleh Sonja Lang pada tahun 2001. Seramai 3 500 pengguna dalam talian menggunakan bahasa ini pada tahun 2018. Toki Pona mempunyai 120 kosa kata asas, ini bermakna gabungan kosa kata tersebut diperlukan untuk membentuk kosa kata yang lebih rumit. Sebagai contoh; gabungan “jan” (Orang) dan “utala” (Bergaduh) iaitu “jan utala” bermaksud “askar” ataupun “pahlawan”. Sumber kosa kata Toki Pona adalah daripada bahasa Inggeris, Tok Pisin, Suomi, Kartuli, Belanda, Perancis Akadia, Esperanto, Croatia dan bahasa Cina. Sonja Lang menggunakan tulisan Latin untuk menulis Toki Pona. Antara ayat lazim dalam bahasa ini adalah “Toki, nimi mi li Mako. Mi pona tan ni: mi sona e sina.” yang bermaksud “Helo, nama saya Marco . Selamat berkenalan.”.

Waqaf Saham

Interlingua [inteɾˈliŋɡwa] dicipta oleh Persatuan Bahasa Asing Antarabangsa (IALA) pada tahun 1951. Pada tahun 2000, seramai 1 500 orang menggunakan bahasa ini. Interlingua menggunakan tulisan Latin manakala kosa kata daripada bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Portugis, Sepanyol, Jerman dan Rusia. Pada hari ini, Interlingua telah berkembang dari komuniti saintifik kepada orang awam. Pelbagai pihak menggunakan Interlingua untuk pembelajaran, pelancongan dan penerbitan dalam talian. Antara ayat lazim dalam Interlingua adalah “Holla, mi nomine es Mako. Il es un placer facer vostre cognoscentia!” yang bermaksud “Helo, nama saya Marco. Selamat berkenalan.”

Bahasa F adalah bahasa Melayu yang menggunakan banyak huruf F. Bahasa F digunakan untuk berbual sesama sendiri tanpa orang lain memahaminya. Setiap suku kata akan ditambahkan dengan huruf F. Contoh bahasa F adalah “Afakufu safakitfit peferutfut.” yang bermaksud “Aku sakit perut.”

 Sema Tene [səma.təne] adalah sebuah bahasa tiruan yang dicipta oleh pentadbir #AlamBahasa12 pada tahun 2018. Tiada penutur yang bertutur dalam bahasa ini. Sema Tene menggunakan tulisan Latin yang bernama “Abde” [ab.də]. Jika berminat dengan bahasa tiruan ini, anda boleh lungsuri laman sesawang #AlamBahasa12. Contoh ayat lazim dalam bahasa ini adalah “Adikuya wari, gaya aku Mako. Adikuya aku kita suku.” yang bermaksud “Helo, nama saya Marco. Selamat berkenalan.”

Akhir kata, selain bahasa semulajadi seperti bahasa Melayu, Inggeris, Jepun, Korea dan sebagainya; terdapat bahasa tiruan telah dicipta dalam pelbagai tujuan. Berguna atau sebaliknya bahasa tiruan adalah bergantung kepada tujuan asal pembentukan bahasa tersebut. Sebagai contoh, bahasa Klingon sangat berguna kepada ramai pihak yang mencari sesuap nasi dalam pembikinan karya Star Trek.

Artikel disumbangkan oleh Alam Bahasa untuk The Patriots. 

Post a Comment

Previous Post Next Post