Umum mengetahui peranan George Washington dalam membentuk Amerika Syarikat yang kita kenali hari ini. Beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan pengasas negara berkenaan yang dikenali sebagai Founding Fathers. Malah selepas negara itu mencapai kemerdekaan, beliau juga diberi penghormatan sebagai presiden Amerika Syarikat yang pertama. Tetapi tidak ramai tahu bahawa Washington juga sebenarnya mengagumi Islam dan memperjuangkan kebebasan beragama bagi semua termasuk penganut Islam di Amerika.
Sikap terhadap hamba
Terdapat banyak bukti yang menunjukkan sikap Washington yang mulia ini. Selepas menamatkan penggal keduanya sebagai presiden, Washington kembali ke estetnya di Mount Vernon dan menghabiskan sisa kehidupannya ditemani hamba-hambanya yang setia. Dalam satu koresponden surat antara beliau dengan Tench Tighman berkenaan urusan pembinaan sebuah struktur di Mount Vernon, Washington ditanya apa jenis pekerja yang boleh dibawa Tighman ke estet berkenaan. Dalam surat balasnya, beliau hanya mahukan pekerja yang baik tanpa mengira sama ada mereka itu berlainan warna kulit atau berbeza agama dan fahaman. Ini menunjukkan beliau sama sekali tidak memilih bulu berkenaan soal warna kulit dan agama.
Dan tidak terkejut juga jika sesetengah hamba yang dimiliki Washington sebenarnya beragama Islam atau dari keturunan penganut Islam. Ini berdasarkan satu dokumen yang ditemui di Mount Vernon dari tahun 1774 yang menunjukkan nama Fatimer dan Little Fatimer. Nama Fatimer ini berkemungkinan merujuk kepada nama puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah Az-Zahra r.a.
Selain itu, satu lagi kisah membabitkan hamba Washington menarik perhatian pengkaji sejarah Mount Vernon Mary V. Thompson. Pada satu ketika, seorang hambanya bernama Letty melahirkan seorang anak perempuan dan anak tersebut diberi nama Nila. Thompson berspekulasi nama tersebut diambil dari nama Arab ‘Naailah’ yang bermaksud seseorang yang mendapat sesuatu. Beliau menambah Letty memilih nama berkenaan agar anaknya itu membawa nama yang signifikan dengan kebebasan yang diraihnya. Fakta hamba-hamba dapat mengekalkan nama-nama berbaur Islam merupakan bukti toleransi Washington terhadap pengaruh bukan Christian di Mount Vernon.
Sambo-Washington
Selain kisah Letty, tidak ramai tahu hubungan persahabatan erat yang terjalin antara Washington dengan seorang hamba bernama Sambo Anderson. Dalam kajiannya, Thompson mendapati Sambo mempunyai darah orang Hausa dari Afrika Barat. Islam mendapat sambutan dalam kalangan orang Hausa selepas ia tersebar dari Mali seawal abad ke-14 dan antara golongan pertama memeluk Islam ialah golongan pemerintah elit.
Dalam kes Sambo, beliau juga dikatakan mempunyai darah raja berdasarkan tanda parut, tatu dan cincin emas pada telinganya, yang menandakan darah raja dalam dirinya. Selain itu, wasiat Washington sendiri turut mendedahkan siapa sebenarnya Sambo.
Dalam wasiat tersebut, beliau menceritakan Sambo mempunyai dua orang isteri dan mempunyai enam cahaya mata. Kedua-dua isteri tinggal di kawasan berbeza di River Farm, satu kawasan di Mount Vernon. Dan apa yang diamalkan Sambo bukanlah sesuatu yang asing di sisi Islam kerana ia dipanggil poligami dan ia juga turut diamalkan di kampung halamannya, Hausaland.
Satu artikel akhbar abad ke-19 menyatakan kedua-duanya mempunyai hubungan erat dengan Sambo dianggap salah seorang hamba kegemaran Washington. Ini dibuktikan menerusi pengurniaan sebidang tanahnya kepada Sambo bagi membolehkan beliau membina rumah di situ. Washington juga turut membenarkan Sambo menyimpan sebuah bot kecil bagi kegunaan seharian, satu keistimewaan yang jarang diperoleh hamba di Amerika. Walaupun ada ketikanya beliau menggunakan bot untuk urusan tertentu, sebarang penggunaan tidak dibuat tanpa izin hambanya itu.
Selain itu, Sambo yang turut dikenali sebagai pemburu yang mahir dibenarkan menyimpan selaras senapang dan peluru, satu lagi keistimewaan yang jarang diraih hamba pada zaman kolonial. Adakalanya, Washington bertandang ke rumah rakannya itu untuk membeli daging itik dan madu. Hubungan Sambo-Washington ini menunjukkan satu hubungan yang jarang dikesan antara pemilik hamba dengan hamba. Washington sama sekali tidak terganggu dengan pilihan agama hambanya tetapi beliau lebih mengambil berat sikap amanah dan baik yang ditunjukkan Sambo. Hubungan kedua-duanya amat baik sehinggakan selepas Washington meninggal dunia, Sambo dan rakan-rakan hamba yang dibebaskan beliau melakukan khidmat terakhir iaitu menggali kubur buat rakan baiknya itu.
Memang diakui, legasinya sebagai pemilik hamba sedikit-sebanyak mencalar reputasinya sebagai seorang negarawan. Tetapi itu tidak pula bermakna Washington suka dengan peranannya sebagai pemilik hamba. Banyak surat yang menunjukkan pendirian beliau yang kurang senang dengan perhambaan. Menerusi satu koresponden surat antara beliau dengan Robert Morris pada 1786, Washington menulis, “Tiada seorang pun dari kalangan manusia yang lebih ikhlas selain aku yang berharap melihat perlaksanaan rancangan menghapuskan perhambaan.” Dalam satu surat yang lain, beliau mengecam keras gelagat sesetengah pemilik hamba yang berlaku zalim terhadap hamba-hamba mereka. Dan pada akhir kehidupannya, Washington menyatakan rasa kesal berkenaan peranannya sebagai pemilik hamba.
Perang Revolusi
Selain Mount Vernon, Perang Revolusi turut menjadi saksi toleransi Washington terhadap penganut Islam. Buktinya, ada sesetengah orang Islam yang turut berjuang bagi pihak Amerika semasa perang berkenaan. Antaranya Bampett Muhammad yang berjuang mempertahankan Virginia dari 1775 hingga 1783. Sementara Yusuf Ben Ali atau Joseph Benhalley pernah berkhidmat sebagai pembantu Jeneral Thomas Sumter di Carolina Selatan. Dalam satu artikel bertajuk A History of Turks in America yang diterbitkan pada tahun 2002, penulis Sevgi Zubeyde Gurbuz menyatakan orang-orang Turki yang menetap di Sumter County, Carolina Selatan sebenarnya berasal dari keturunan Ben Ali.
Selain Bampett dan Yusuf, seorang lagi tentera yang pernah berkhidmat di bawah panji Washington ialah Peter Buckminster. Buckminster mula dikenali selepas melakukan tembakan yang membunuh Mejar Jeneral John Pitcairn semasa Pertempuran Bunker Hill. Selepas mendapat kebebasan dengan menyertai tentera, beliau menukar namanya kepada Salem. Sejarawan Amir Muhammad berpandangan nama Salem itu sebenarnya merujuk kepada Salam yang bermaksud aman dalam Bahasa Arab. Salem kemudiannya kembali menyertai Washington di medan peperangan dan memainkan peranan penting dalam kemenangan mereka di Saratoga dan Stony Point.
Sidi Muhammad pelopor hubungan Amerika-Maghribi
Selain mereka ini, seorang individu di seberang Atlantik menjadi sekutu yang tak disangka-sangka Amerika semasa Perang Revolusi. Pada akhir tahun 1777, tentera Washington mengalami kekalahan demi kekalahan dan terpaksa menyerahkan bandar Philadelphia kepada pihak Britain. Kemuncak kepada kesukaran ini apabila mereka berkhemah di Valley Forge pada 19 Disember. Dalam surat kepada rakannya George Clinton, beliau menyatakan kesusahan yang dihadapi mereka terutama dari segi bekalan makanan. Situasi tersebut diketahui Sultan Maghribi, Sultan Sidi Muhammad ben Abdullah dan baginda menunjukkan minat membantu Amerika melawan Britain.
Sebagai tanda komitmen Maghribi terhadap negara baru itu, Sidi Muhammad bersedia membenarkan kapal-kapal dagang Amerika berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Maghribi, satu langkah yang dilihat membolehkan bekalan dapat dibawa untuk kegunaan tentera Washington. Dan pada tahun 1778, Sidi Muhammad melantik seorang pedagang Perancis bernama Etienne d’Audibert Caille sebagai wakil Maghribi ke negara-negara yang belum berwakil termasuk Amerika Syarikat. Hubungan diplomatik awal yang terjalin antara kedua-dua negara akhirnya membawa kepada ratifikasi Perjanjian Marrakesh pada tahun 1786. Perjanjian tersebut merupakan perjanjian hubungan luar paling lama dicatatkan dalam sejarah Amerika.
Kongres yang berpuas hati dengan perjanjian berkenaan menghantar nota terima kasih kepada diplomat Amerika, Thomas Barclay. Barclay yang ketika itu berkhidmat di Konsul Amerika di Paris menukilkan pengalamannya semasa berunding dengan Sidi Muhammad, “Baginda bertindak seperti seorang lelaki budiman. Dan saya percaya Amerika seharusnya mencontohi rasa hormat dan ambil beratnya seperti mana negara-negara Kristian yang lain.” Barclay turut menyatakan kekagumannya terhadap baginda sebagai seorang pemerintah yang adil, liberal, tegas dan amat mencintai rakyatnya. Perjanjian Marrakesh merupakan manifestasi keyakinan Washington dan Kongres terhadap pemerintah asing atas keikhlasan dan kekuatan perwatakan mereka dan bukannya dihakimi atas sebab kepercayaan mereka.
Sebagai membalas kebaikan Sidi Muhammad, Washington menghantar satu surat peribadi kepada baginda pada tahun 1789. Dalam surat berkenaan, selain menjamin komitmen Amerika terhadap hubungan luar Amerika-Maghribi, beliau juga menyatakan kesediaan Amerika sebagai rakan yang boleh diharap pada masa senang dan susah. Washington juga memberi jaminan selagi mana beliau menjadi presiden, beliau akan terus mempromosikan persahabatan dan keharmonian yang wujud antara kedua-dua negara.
Selepas Sidi Muhammad mangkat pada tahun 1790, Perjanjian Marrakesh disahkan oleh pengganti baginda, Moulay Suliman. Dalam suratnya kepada Konsul Amerika di Gibraltar, baginda menulis, “Kami merasa aman, tenang dan mengekalkan persahabatan dengan anda dengan cara sama anda mengekalkannya semasa bersama ayahandaku yang telah tiada. Orang Amerika, beta dapati merupakan negara anda merupakan negara yang dihormati ayahanda beta. Beta merasakan sama dengan mereka, seperti mana ayahanda beta dan beta percaya mereka akan berbuat perkara sama kepada beta. Dan ini sudah cukup untuk mengekalkan hubungan baik sedia ada.”
Jadi apa punca toleransi Washington? Ada berpandangan ia berpunca prinsip-prinsip era Pencerahan yang dipegang beliau yang menekankan soal hak asasi manusia dan kebebasan membuat pilihan. Ini dimanifestasikan dalam surat peribadi beliau pada tahun 1783. Washington menulis, “Amerika seharusnya terbuka untuk menerima orang-orang yang ditindas dan ditekan dari mana-mana negara atau agama, di mana kami akan menyambut penyertaan mereka berkenaan soal hak dan keistimewaan. Mereka boleh saja penganut Mahometan (Islam), Yahudi atau Kristian dari mana-mana mazhab.”
Washington juga tidak mahu melihat Amerika menjadi medan di mana kebencian agama disebarkan. Ini dinyatakan secara jelas dalam suratnya kepada Edward Newnham pada tahun 1792, “Pertelingkahan berkenaan perbezaan agama ialah sesuatu yang menekan dan merungsingkan serta sesuatu yang harus ditolak sekeras-kerasnya.” Washington juga amat jelas dalam cadangannya berkenaan mengelak pertelingkahan agama kerana merasakan masalah sebegitu boleh mengancam keamanan masyarakat.
SUMBER
Considine, Craig. (2013). Huffington Post. George Washington Was a Friend of Muslims. https://ift.tt/2PFh8gy