Dilema PTPTN: Ditelan Mati Akal, Diluah Mati Pucuk

Hutang pelajar merupakan isu semasa di banyak negara. Bukan Malaysia sahaja yang sedang bergelut dengan sentimen para graduan. 44 juta Amerika Syarikat masih lagi mempunyai hutang pelajar; secara keseluruhan, amaun ini ialah AS$1.5 trilion, pada kadar faedah sebanyak 5.04%. Tidak boleh dinafikan bahawa angka ini memang besar. Namun isu hutang pelajar tidaklah begitu panas dalam masyarakat Amerika Syarikat, kerana asasnya kedua-dua parti mempraktikkan hukum kapitalisme mutlak. Komitmen Amerika dalam perkara ini jelas kerana rakyat mereka dikehendaki melanggan insurans oleh kerana ketiadaan jaminan penjagaan kesihatan universal.

Malaysia hanya mempunyai isu hutang pelajar yang sangat serius angkara percaturan politik kepartian. Terlalu lama anak-anak muda digemburkan dengan hasutan-hasutan supaya PTPTN tidak perlu dibayar jika parti tersebut menang. Hanya seorang figura politik sahaja sentiasa memainkan idea sedemikian yang tidak perlu disebut pun. Salah satu senjata politik yang digunakan untuk merangkul undi ialah pendidikan percuma.

Dari segi luar, memanglah tiada masalah untuk melaksanakan pendidikan percuma. Rakyat juga ibaratkan diberikan laluan seluas-luasnya untuk menambahkan senarai pengajian. Dengan pendidikan percuma, tidak dinafikan ramai yang mempunyai dua ijazah pun. Namun ilusi pendidikan percuma memerlukan salah satu daripada dua perkara: (1) sumber ekonomi yang sangat ampuh seperti bahan api atau (2) cukai yang tinggi. Biasanya hanya cukai sahaja yang berupaya untuk memperjuangkan pendidikan percuma, kerana sumber bahan api terikat kepada pasaran antarabangsa.

Tanpa kedua-duanya, Malaysia memang takkan ada harapan untuk mengimarahkan pendidikan percuma. Namun tiada parti politik yang mengimpikan idea ini berjaya membentangkan cara logik untuk mendapatkannya. Peralihan kuasa menunjukkan bahawa impian pendidikan percuma hanyalah impian. Benar sama sekali, kerajaan semasa tidak pernah menjanjikan pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN. Namun manifesto parti meletakkan penangguhan bayaran sampai gaji RM4,000.

Dari segi fitrah, janji ini memang sangat baik jika berjaya dilaksanakan. Namun sekali lagi secara logik, ianya tidak boleh dilaksanakan. Gaji RM4,000 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang boleh dikatakan satu perkara biasa. Namun bagi kawasan perbandaran dan daerah, pendapatan RM48,000 setahun sekalipun tidak termasuk cukai pendapatan dan zakat boleh menjaminkan macam-macam. Maka imbangan keadilan dari segi pembayaran balik jelas sekali tidak sekata – di mana penduduk di luar bandaraya yang mempunyai gaji RM2,500 sudah boleh membuat simpanan besar, sedangkan rakyat di bandaraya terpaksa mengikat perut.

Bererti ketika dalam blok pembangkang, manifesto ini turut tidak logik untuk dilaksanakan. Disebabkan itulah kerajaan masih belum mempunyai formula yang sempurna untuk menyelesaikan pembayaran balik. Sebelum ini gaji minima pun dikehendaki bayar balik. Kemudian pengumuman dibuat yang mana golongan dibawah gaji RM2,000 sebulan dikecualikan. Namun mekanisme sedemikian memberikan tekanan yang sangat berat kepada golongan pertengahan dengan gaji RM3,000. Sekali lagi cara ini ditangguh, katanya buat beberapa bulan untuk mendapatkan formula terbaik.

Tindakan penangguhan ini memang mulia. Walaupun dikecam ramai, U-Turn ialah lebih baik daripada statik. Namun tidak mungkin sebuah kerajaan perlu U-Turn jika mempunyai formula dari awal. Perlu disoalkan juga tentang kredibiliti anak-anak muda dalam kalangan parti-parti kerajaan – apakah mereka yang merupakan bekas-bekas pelajar tidak langsung memiliki idea separa sempurna untuk ditambah baik? Jika sekali tangguh, tiada masalah – dilihat sekarang sudah berkali-kali ditangguh, seolah-olah kerajaan tidak keruan.

Maka PTPTN yang telah lama dikeji sudah menjadi dilema dalam kalangan masyarakat. Jika kerajaan menelan semua perbelanjaan, sudah tentu bajet kerajaan akan menjadi defisit yang besar. Jika kerajaan meluahkan pula, amarah rakyat bakal menjelma. Maka ditelan mati akal, diluah mati pucuk. Pinjaman yang kecil pun atas hasutan berpanjangan sudah menjadi rumit. Mungkin ada kerelevanan juga apabila Islam menggalakkan jawapan yang teliti kepada soalan-soalan terperinci.

Para penyokong kerajaan pula tidak boleh sekadar melepaskan batok di tangga dengan mengatakan “hutang wajib dibayar”. Jika diteliti dengan baik, hutang rumah dan kereta yang jauh lebih besar boleh sahaja dibayarnya. Rumah yang mempunyai kadar faedah 4.25% dengan pinjaman RM200,000 pun boleh saja dibayar RM890 setiap bulan tanpa gagal selama 30 tahun. Kereta pun begitu: pada harga RM44,800, rakyat dengan selamba membayar RM485 setiap bulan selama sembilan tahun. Itu belum lagi dikira dengan bayaran cagaran 10% pun.

Namun apabila isu hutang menyentuh tentang PTPTN, rakyat mendidih sekalipun pinjamannya RM20,000 sahaja. Langkah yang sama tidak boleh diambil atas kebencian yang ditanam secara politik akibat terlalu lama. Jelas sekali golongan penghasut telah lama menjadi ancaman kepada integriti sebuah ekonomi. Pendidikan percuma tidak jahat; sebaliknya, Malaysia perlu menaikkan semua kadar cukai untuk mendapatkannya, yang turut akan memberikan rezeki tidak terhingga kepada sektor kesihatan dan pengangkutan. Tol pun boleh dimansuhkan sepenuhnya jika cukai pendapatan diikat kemas pada 35%. Cukai barangan seperti VAT pun perlu tinggi, dengan CBP (GST) pada 20% sekurang-kurangnya.

Harus ditanya, wajarkah seorang peniaga kecil-kecilan diwajibkan bayar RM350 sebulan bagi setiap keuntungan RM1,000 yang dibuat? Wajarkah peneroka FELDA yang tua dan uzur dikehendaki bayar RM20 bagi setiap RM100 yang dibelanja? Pengorbanan rakyat secara keseluruhan ini dibuat semata-mata untuk memberikan pendidikan percuma dan pemansuhan tol kepada seluruh rakyat Malaysia.

Maka tiada persoalan lagi – PTPTN ialah sebuah kewajiban yang perlu ditunaikan walau apa pun ahli-ahli politik mengatakan. Sekali lagi, benar parti pemerintah tidak menjanjikan pendidikan percuma untuk Pilihanraya Umum Ke-14. Namun hasutan daripada Pakatan Rakyat telah lama tertanam. Malah ramai yang tidak tahu pun perbezaan antara Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Oleh itu kerajaan perlu mengambil kira secara fiskal dan fizikal suatu jalan yang memberikan rakyat fleksibiliti untuk membayar.

Mungkin kerajaan boleh membuatkan suatu dasar dimana rakyat boleh pilih kadar bayaran mengikut tahun. Jikalau mengikut kadar, barangkali perubahan inflasi dan komitmen bulanan akan melambatkan proses. Maka mengikatkan bayaran pada tempoh tahun lebih efisyen. Rakyat perlu diberikan fleksibiliti untuk membayar selama 5-20 tahun, dimana mereka perlu diberikan hak untuk menukar tanpa caj. Memanglah cadangan ini agak pelik – namun lebih pelik apabila pendidikan percuma pernah dicadangkan, yang kini tidak disebutkan.

Kadar ekonomi bukanlah satu alasan. Sisa-sisa Najib Razak boleh dikambus dalam masa tiga tahun pun, apabila ekonomi dijana semula dengan teliti. Kadar minyah mentah pun tidak seharusnya dijadikan alasan. Kerana jika dibuat alasan, apakah golongan cerdik pandai pembangkang lama tidak menjangkakan langsung kebarangkalian jatuhnya harga bahan api global?

Oleh itu salah satu langkah yang difikirkan boleh digunakan ialah pengikatan tempoh. Kerajaan harus fikirkan kadar faedah paling rendah yang tidak akan menekankan mana-mana pihak. Jika 2% paling sesuai, maka itulah sandarannya. Andai kata sebuah pinjaman diploma dan ijazah sarjana muda berada pada RM40,000, kadar bayar balik (sekali faedah) perlu diberikan cara sedemikian:

• 5 tahun: RM700
• 10 tahun: RM370
• 15 tahun: RM260
• 20 tahun: RM205

Kadar gaji tidak seharusnya dijadikan sandaran. Pinjaman tetap pinjaman, kerana seseorang yang bergajikan RM50,000 sebulan perlu bayar kadar sama bagi sebuah kereta yang dibeli seseorang bergajikan RM50,000 setahun. Jika Perodua Bezza yang dibeli, kadar RM570 sebulan itulah akan dibayar oleh semua pihak dengan pinjaman penuh sembilan tahun.

Usahlah bermain dengan persepsi bersalutkan statistik dan kenyataan bombastik. Bukan semua rakyat yang pandai. Buktinya jelas apabila Pakatan Harapan menang, ada yang menaikkan hantaran bahawa mereka boleh tidur lena sebab PTPTN dihapuskan, sedangkan perkara sedemikian tiada dalam manifesto pun. Dan satu lagi, berhenti mengatakan manifesto ialah janji. Definisi sebenar sebuah manifesto ialah perisytiharan bertulis kepada sebuah usaha. Jauh benar bezanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post