Himpunan 812: Surat Terbuka Untuk Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom

Himpunan Daulat 812 telah membakarkan semangat bangsa Melayu untuk sedar yang kuasa politik majoriti sebenarnya jauh lebih dahsyat daripada sangkaan. Para penganjur telah melaksanakan inisiatif ini dengan jayanya. Maka mereka sepatutnya diberikan sepenuh penghargaan; sesungguhnya menguruskan himpunan yang aman, bersih dan ceria merupakan suatu kejayaan besar. Kesempurnaan himpunan ini atas kehebatan para adiwira putih telah mencetuskan definisi baharu dalam politik Malaysia. Dan seperti biasa, apabila ayat al-Qur’an didendangkan, syaitan semestinya akan kepanasan.

Berikutlah kiasannya, apabila hipokrasi dan kemunafikan sesetengah orang ditonjolkan. Sebelum ini mereka mendaulatkan semangat kebebasan bersuara demi Bersih. Namun kali ini mereka boleh pula timbul kegusaran terhadap tanggapan pelancong dan pertumbuhan ekonomi atas penutupan kedai. Tidak sangka salah seorang daripada mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom, Victoria Treadell. Kenapa perkara ini mengejutkan? Kerana Victoria Treadell telah lama menetap di Malaysia, cukup untuk memahami keperluan status quo dan penetapan keistimewaan yang diamanahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Dan beliau mengeluarkan kenyataan jahil di Twitter bahawasanya penolakan ratifikasi ICERD telah menafikan dasar kesamarataan kepada semua warga di Malaysia. Sebenarnya memang wujud diskriminasi di Malaysia yang memenangkan Bumiputera. Sebelum diteruskan, izinkan masa untuk menjelaskan yang diskriminasi ialah lembing dua mata: positif (tindakan afirmatif) dan negatif (penindasan). Menafikan bangsa minoriti hak untuk berkahwin ialah penindasan. Menetapkan had membiak pada bangsa minoriti, sedangkan kaum majoriti dibebaskan pun aspek penindasan.

Sekecil-kecil penafian untuk mendapatkan jaminan penjagaan kesihatan universal di Malaysia pun sudah dikira diskriminasi. Namun perkara sedemikian tidak berlaku. Sebaliknya diskriminasi yang bersifatkan positif disediakan untuk menebatkan segala kekurangan dalam kalangan kaum majoriti yang dibedil rata oleh bangsa Treadell sendiri. Sesungguhnya penjajah-penjajah terlaknat Britishlah yang menyusahkan pelbagai negara akibat dasar kolonialisme imperialis satu masa dahulu.

Semua orang bersedia untuk melupakan jenayah silam, kerana anak-anak British sekarang tidak terikat kepada dosa nenek moyang masing-masing. Untuk menjaga masa depan masing-masing, seharusnya setiap orang bermuhasabah diri. Keistimewaan Melayu melalui Artikel 153 disediakan sebagai timbal balas kepada kerelaan orang Melayu untuk menerima bangsa-bangsa pendatang. Apabila Malaysia dilahirkan, tiada lagi istilah ‘pendatang’, kerana sesungguhnya semua orang ialah anak negara ini. Maka untuk menafikan Artikel 153 ialah galakan untuk mewujudkan semula konsep ‘pendatang’ itu sendiri.

Daripada Victoria Treadell buang masa fokus kepada Malaysia, lebih-lebih tumpukan perhatian kepada United Kingdom sendiri yang sekarang cacamarba angkara Brexit. Islamofobia semakin meruncing dalam kalangan umat Islam British. Benar garisan pemisah etnik dan kaum dilihat sudah tipis (mungkin tiada) dalam kalangan masyarakat United Kingdom. Namun usahlah berdusta diri dengan pendapat bahawa pemisah tersebut tidak wujud dalam aspek budaya dan agama. Referendum pada Jun 2016 telah mengeluarkan sifat dubuk dalam diri masing-masing apabila laporan kebencian anti-Islam mencanak sebanyak 326% berbanding insiden-insiden serupa tahun 2015.

Kritikan terhadap Islam pun semakin lantang. Nilai-nilai Islam dipijak. Amalan berniqab dihina sebagai penindasan terhadap wanita yang rela memakainya. Hak untuk membuka pakaian pula dijulang. Persepsi sedemikian bertunjangkan konflik antara Rantau Barat dan Dunia Islam – yang mana rakyat tempatan pula perlu membayar atas dosa orang lain. Sekurang-kurangnya bangsa Melayu tidak paksa kalian bayar pampasan atas dosa silam bangsa kalian. Anak-anak muda Islam pun didapati dibayar gaji rendah. Ramai yang tidak dapat pekerjaan pun.

Bukan umat Islam sahaja yang terpaksa berdepan dengan kezaliman rakyat British. Etnik Eropah sentiasa meneruskan kejahatan kalian terhadap bangsa Yahudi. Anti-semitisme dalam kalangan kalian pun semakin meningkat. Kegiatan seperti penghinaan verbal, graffiti anti-Yahudi dan serangan fizikal pun meningkat 10% pada awal tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya. Polis London sendiri terpaksa berpakat dengan Community Security Trust yang mewakili komuniti Yahudi untuk memerangi kegiatan ini.

Kedua-dua situasi menggambarkan kebiadapan rakyat susulan Referendum Brexit 2016. Terlalu kritikal sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut memandang serius tentang keupayaan kepimpinan politik untuk membanteras anti-Semitisme dan Islamofobia. Malah Parlimen UK pun dituntut melaksanakan sedemikian yang masih belum mencukupi.

Di luar rangka agama, bangsa Cina turut menerima tempias dengan kenaikan 15% laporan diskriminasi. Tunjang rasisme telah mereputkan institusi British yang semakin tidak relevan sejak Referendum 2016. Pemerhati PBB menyentuh tentang masalah sosioekonomi dalam kalangan minoriti pun. Dasar penjimatan Teresa May telah banyak memberikan kesan terhadap komuniti minoriti. Wanita yang kononnya diperjuangkan didapati antara yang paling teruk menerima tamparan.

Maka perlulah Victoria Treadell diucapkan terima kasih juga kerana melihat rumput di Malaysia jauh lebih hijau berbanding United Kingdom. Mungkin lapan tahun pertamanya di Ipoh telah meresapkan barah dengki daripada rakyat Malaysia untuk menyelar negara ini berdasarkan perilaku adiwira-adiwira putih yang memperjuangkan hak suci Melayu. Jika itulah hakikatnya, maka terpaksalah kalian menerima hakikat:

ICERD tidak diundang di Malaysia.

Jika 550,000 orang boleh berkumpul pada 8 Disember 2018 pada ketika kerajaan menolak ratifikasi tersebut, bayangkan bencana yang menanti tatkala ICERD dilaksanakan.

Rujukan:

Al Jazeera. (2017, September 07). Britain’s Muslims faceworkforce discrimination: Report. Retrieved from https://ift.tt/2PqlofD

Discrimination and Racism in the UK. (n.d.). Retrieved from https://ift.tt/2zT5iGf

Doward, J. (2017, November 19). Chinese report highest levels of racial harassment in UK. Retrieved from https://ift.tt/2AbQK6n

Kopotsha, J. (n.d.). Yes, The UK Does Have A Race Problem. And Its Just As Troubling As Americas. Retrieved from https://ift.tt/2zPFHOI

Lizzie Dearden Home Affairs Correspondent @lizziedearden. (2018, May 12). Brexit has made racism more acceptable, UN warns. Retrieved from https://ift.tt/2I85lUN

Post a Comment

Previous Post Next Post