Assalamualaikum
Pagi ini selesai membaca Yaasin di tempat kerja, saya sempat bersembang dengan ustaz. Tanya kepada saya, dah baca surah Ad-Dukhan ? “Saya kata belum lagi …”
Beliau menyarankan kepada saya, selain amalan membaca Surah Yaasin, amalkan juga bacaan surah Ad-Dukhan ini kerana banyak manfaatnya.
Dan ustaz ceritakan kelebihan surah Ad-Dukhan seperti di bawah. Jadi, marilah sama-sama kita amalkan dan semoga ianya memberi manfaat buat kita semua. Insha-Allah.
Surah Ad-Dukhan
Surah Ad-Dukhan (bahasa Arab:الدخان) adalah surah ke 44 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri atas 59 ayat. Dinamakan Ad-Dukhan kerana kata Ad-Dukhan yang terdapat pada ayat 10 yang bererti ‘Kabut, Jerubu atau Asap’.
Ia mengandungi amaran Allah SWT terhadap kaum kafir musyrik yang menetang Nabi Muhammad SAW bahawa mereka akan ditimpakan azab sengsara semasa langit membawa asap kemarau yang menyebabkan kebuluran yang amat dashyat.
Suasana Alam Akhirat
Suasana alam akhirat telah digambarkan seperti dalam ayat 40 hingga ayat 59 daripada surah Ad-Dukhan di atas. Terjemahan ayat tersebut dengan sendirinya sudah memberikan gambaran kepada kita apa yang akan berlaku di akhirat nanti. Betapa gerunnya kita dengan bekalan yang tidak seberapa dan sewajarnya dijadikan pemangkin dalam beribadat kepada-Nya.
Kelebihan Dan Fadhilat Surah Ad-Dukhan
Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Ad Dukhan ini, diantaranya:
1. Dari Khalil bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Di dalam Al Quran terdapat 7 surah yang dimulai dengan Haa Miim, akan datang di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon kepada Allah SWT dengan katanya; “Ya Allah! Janganlah Dikau masukkan ke dalam neraka ini orang yang percaya kepadaku dan membacaku.” (HR: Al Baihaqi).
2. Daripada Zaid Ibnu Haritsah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Zayyad; “Sesungguhnya aku simpan sesuatu, maka apakah ia?. Maka Nabi SAW simpan baginya surah Ad-Dukhan, maka baginda bersabda dia ialah (Ad-Dukhan) dan bersabda lagi; Pergilah. Masyaallah, kemudian dia pergi”.
3. Dari Abi Ja’far r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca surah Ad-Dukhan dalam solat-solat fardhu dan nafilahnya (sunatnya), maka Allah akan membangkitkannya bersama orang-orang yang mendapatkan penjagaan Allah pada hari Kiamat, menaunginya di bawah Arsy-Nya, menghisabnya dengan mudah dan memberi kitab (catatan amal) nya dari sebelah kanannya.” (HR: Abu Hamzah Tsumali)
Malam Jumaat
1. Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca “Haa Miim – Ad Dukhan” pada malam Jumaat; maka diberi keampunan baginya”. (HR: Ibnu Katsir).
2. Dari Umamah pula menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Ad Dukhan pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membinakan sebuah rumah dalam syurga.” (HR: At Tabrani).
3. Disebutkan dalam tafsir al-Burhan, dari Nabi SAW bersabda; “Orang yang membacanya (surah ad-Dukhan) pada malam Jumaat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Baginda SAW juga bersabda, “Orang yang membaca surah ad-Dukhan pada malam Jumaat akan dimintakan ampun (atas dosa-dosanya) menjelang paginya oleh tujuh puluh ribu Malaikat.”
Membaca Surat Ad-Dukhan, dimohonkan ampun oleh Malaikat.
1. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca Ad-Dukhan setiap malam, maka tujuh puluh ribu (70.000) malaikat memohon ampun untuknya.” (HR. Tirmidzi).
2. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah “Haamim – Ad Dukhan” pada waktu malam; maka esoknya 70 ribu malaikat akan meminta ampun baginya“. (HR.Ibnu Katsir)
3. Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca Ad-Dukhan di waktu malam, maka 70.000 malaikat memohon ampun untuknya.” (HR. Tirmidzi).
Khasiat Ayat-Ayat Surah Ad-Dukhan
Mengamalkan membaca keseluruhan surah Ad-Dukhan ini, akan terselamat dari segala gangguan.
Khasiat ayat 1-8 : Membantu membinasakan musuh.
Khasiat ayat 12 : Dijauhkan daripada ditimpa bala.
Khasiat ayat 59 : Dapat membantu memenangi berhujah.
Mudah-mudahan kita sentiasa dapat membaca surah Ad-Dukhan bersekali dengan Surah Yasin, pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar. Surah Ad-Dukhan yang mengandungi 59 ayat ini dikaitkan dengan memohon keampunan dan elok difahami erti dan maksudnya. Dan istimewanya membaca Surah Ad-Dukhan juga, Malaikat akan memohon ampun untuk pembacanya.
Sumber : shafiqolbu
Rujukan Ustaz : Jaafar Ab Rahman
Sumber Baca dan amalkanlah surah Ad-Dukhan. Didoakan 70 ribu malaikat, disediakan rumah disyurga buat kita.Insha Allah...
Tags:
mazeer