Mungkin tak ramai yang tahu, Akta Pendidikan Negara kini hanya mewajibkan murid-murid untuk melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.
Disebabkan itu, kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan Negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga tamat Tingkatan Lima.
IBU BAPA BOLEH DIAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG JIKA GAGAL LENGKAPKAN PERSEKOLAHAN
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ibubapa yang gagal menghantar anak ke sekolah mungkin berdepan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama 6 bulan.
“Kita sekarang dah capai lebih 98 peratus anak-anak bersekolah (di sekolah rendah) tetapi sasaran kita ialah 100%,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, hari ini.
Ia adalah lanjutan dari program ‘Sifar Murid Cicir’ yang dijalankan sejak Julai 2018.
Program tersebut bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi sesuatu keluarga yang menyebabkan anak-anak mereka gagal menghadiri sesi persekolahan.
KENALPASTI MASALAH IBU BAPA TAK HANTAR ANAK KE SEKOLAH
“Mungkin dengan cara ini (Ziarah Cakna) kita dapat berjumpa ibubapa dan memahami masalah mereka.
“Ibubapa yang tidak mendaftarkan anak untuk bersekolah pada umur 7 tahun, kita boleh ambil tindakan undang-undang tetapi saya rasa dengan cara ini, guru-guru dan pemimpin tempatan dapat turun melawat ibubapa di rumah dan memahami masalah dihadapi mereka dan merangka tindakan yang boleh diambil,” kata Teo.
BANTUAN HADAPI MASALAH KEWANGAN
Tambahnya, kementeriannya juga boleh mengenal pasti bantuan yang perlu disalurkan kepada ibubapa ini sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Namun, menurut Teo, terdapat juga ibubapa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan masa depan anak mereka sendiri.
APA KATA ANDA?
Rata-rata ramai yang menyokong memandangkan ia menekankan tentang masa depan anak-anak. Namun ada pula yang kurang setuju kerana menganggap sesetengah anak lebih cenderung pada kemahiran tertentu dan mungkin bermasalah jika dipaksa belajar secara formal.
Yang pasti, ini menunjukkan Kementerian Pendidikan serius dalam membangunkan murid-murid yang mempunyai karektor dan sahsiah terpuji dan bukan sekadar cemerlang dari sudut akademik.
Apapun, ia masih di peringkat cadangan. Ia masih lagi dikaji dan diperhalusi dari pelbagai aspek.
Jadi, apa kata anda? Setuju tak dengan cadangan ini?
*Sumber: Bernama via siraplimau.com
Sumber Cadangan Wajibkan Anak Sekolah Sampai SPM, Atau Ibu Bapa Boleh Didenda Dan Dipenjara
Tags:
mazeer