“Tak Perlu Berjoget Dengan Bapok, Tak Perlu Heboh-Heboh Buat Rumah Besar Gedabak” - Perkongsian Kisah Jutawan Dermawan Zaitun Yang Patut Kita Contohi



Tapi yang menarik untuk dikongsi dengankorang semua bukanlah jenama Zaitun tu sangat, tapi keperibadian pengasas Zaitun iaitu Dato Seri Dr Mohammad Eusuff Teh.

Keperibadiannya memang kita tak kan jumpa dekat mana-mana jutawan kosmetik yang ada hari ni. Baik Dato Vida, Alip Sukeri, Sajat, atau Sapi Ilyas. Tak ada.

Kau bayar lah zakat banyak mana sekali pun, tak kan sama.


Jutawan jutawan kosmetik dekat Malaysia yang ada hari ni patut jadikan keperibadian Dr Mohammad Eusuff Teh ni sebagai contoh.

PROFIL DATO’ SERI DR HJ. MOHAMMAD EUSUFF TEH

Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad Eusuff Teh dikenali sebagai seorang Doktor perubatan Homeopathi yang hartawan dan dermawan serta memiliki sifat-sifat terpuji dan berakhlak mulia, jujur, amanah, sabar, rendah diri dan pemurah.

Meskipun dikenali sebagai seorang yang hartawan, beliau mengamalkan prinsip kehidupan dengan penuh kesederhanaan dan menumpukan perhatian dalam kerja-kerja amal jariah terutamanya di Klinik Homeopathi milik beliau. Disamping memberikan ubat secara percuma kepada pesakit-pesakit dari golongan tidak berkemampuan, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan dakwah dan memberi nasihat agama disamping mengambil berat terhadap masalah mereka.

Dato’ Seri sering berdakwah akan keluhuran dan kesucian agama Islam kepada orang bukan Islam, namun beliau mengambil sikap berhati-hati sekiranya ada yang ingin memeluk agama Islam. Beliau berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya diteliti sebab dan niat seseorang yang ingin memeluk agama Islam serta tahap pemahaman mereka terhadap agama Islam serta membimbing mereka untuk memahami ajaran Islam daripada terburu-buru mendorong mereka memeluk agama Islam demi mempertahankan keagungan agama Islam agar ia tidak dipermain-mainkan ataupun diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk apa jua keadaan disamping mengekang mereka dari keluar agama Islam dan murtad selepas itu.

Berikutan dari kemampuan modal dan kesedarannya untuk menunaikan fardhu kifayah, beliau telah mengasaskan Syarikat Zaitun Industri Berhad, yang merupakan syarikat perintis di Malaysia mengeluarkan produk suci dan halal khusus untuk umat Islam. Disinilah bermulanya slogan “Gunakan Tanpa Was-Was“ yang mencetuskan revolusi barangan halal dan suci dibuat oleh orang Islam, untuk pengguna Islam .


Dato’ Seri dan isterinya To’ Puan Rokiah Binti Abdullah dikurniakan seramai enam orang anak, dua daripadanya lelaki iaitu Dato’ Mohd. Raihan dan Dato’ Mohd. Kamal serta empat anak perempuan iaitu Aisha, Faridah , Zaiton dan Siti Haja. Kesemua anak-anak mereka telahpun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dengan 16 orang cucu dan 5 orang cicit.

Dato’ Seri menitikberatkan kerja-kerja amal jariah kepada kesemua anak-anaknya dan mengamalkan kaedah membuat kebajikan secara berahsia “tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan”. Namun, untuk sesetengah situasi yang memerlukan lebih banyak pertolongan ataupun bantuan berskala besar, beliau membenarkan media massa untuk memaparkan sumbangannya agar liputan tersebut dapat menjadi pencetus motivasi untuk mengalakkan individu dan organisasi lain untuk turut sama memberikan sumbangan.

Antara sumbangan dan kerja amal yang telah dilaksanakan oleh Dato Seri adalah seperti berikut:

* Agihan tahunan beras dan makanan asas bagi fakir miskin ke seluruh negara.

* Menyertai program anjuran pemberian makanan percuma tahunan Rotary Club Malaysia untuk warga miskin di Kuala Lumpur dan menyumbang kepada program anjuran NGO seperti M.A.D.E , kumpulan Al-Nidaa dan lain-lain .

* Derma bagi mangsa kebuluran di Korea.

* Derma bagi mangsa peperangan di Kosovo dan Bosnia.

* Derma bagi Yayasan Markazu di India yang menghuni seribu anak-yatim yang dilengkapi sebuah hospital dan sekolah.

* Sumbangan tahunan untuk majlis berbuka puasa dan moreh kepada Masjid dan Surau angkat pada setiap bulan Ramadhan.

* Adalah menjadi tradisi pada setiap bulan Ramadhan, Dato’ Seri bersama isterinya dan kesemua anak-anak dan cucu-cucunya akan mengunjungi rumah-rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan tidak berkeupayaan untuk memberi infaq’ zakat dan sumbangan.

* Beliau juga sering mengunjungi kampung-kampung pendalaman dalam usaha mengenal pasti orang fakir dan miskin yang memerlukan bantuan termasuk membina dan membaiki rumah.

* Menyumbangkan naskah Al-Quran, sejadah dan telekung kepada Madrasah, Masjid dan Surau serta kaki prostetik kepada mereka yang memerlukan.

* Sumbangan pembinaan dan kerja penambahbaikkan Masjid, Surau dan sekolah agama serta Pusat Tahfiz Al-Quran yang disemadikan dengan nama beliau atas kehendak dan persetujuan penduduk setempat, antaranya :

Image result for Dr Mohammad Eusuff Teh

i. Dewan Tahfiz Al’ Quran Mohammad. Eusuff Teh di Kuala Selangor, Selangor

ii. Sekolah Rendah Agama Dato’ Seri Dr. Hj. Eusuff Teh di Melaka

iii. Masjid Silaturrahim Mohammad. Eusufff Teh di Gombak, Selangor

iv. MASJID DR. HJ. MOHAMMAD EUSUFF TEH di Mukim Pedas, Negeri Sembilan (projek pembinaan Masjid ini telah selamat disempurnakan oleh anak sulung beliau iaitu Dato’ Mohd. Raihan bagi menunaikan niat dan hasrat Dato’ Seri untuk membina sebuah Masjid yang lengkap dan telah diwakafkan kepada penduduk Pedas Hilir, Negeri Sembilan pada 19hb. November, 2010).

Dato’ Seri mengasuh anak-anaknya agar mengamalkan sifat TAQWA dan ADIL bukan sahaja sesama manusia malahan kepada makhluk Allah yang lain iaitu haiwan/binatang. Beliau menekankan bahawa burung sepatutnya menikmati kebebasan untuk terbang bebas dan bukan dikurung dalam sangkar dan sekiranya ingin membela ikan, hendaklah dikolam yang besar dan bukannya didalam tangki ikan yang kecil. Beliau juga tidak menerima perbuatan memukul ataupun menyiksa apa jua binatang dalam apa jua keadaan. Untuk menyokong usaha-usaha mempertahankan hak haiwan, Dato’ Seri merupakan penderma kepada tabung SPCA, Malaysia iaitu badan yang menghalang Haiwan dari Seksaan.

Dato’ Seri mengamalkan prinsip Islam dan tegas dalam membimbing anak-anaknya didalam soal keagamaan sebagai bekalan dunia dan akhirat. Anak- anak Dato’ Seri merasa bertuah kerana berpeluang mendapatkan nasihat dan tunjuk-ajar serta panduan samaada berhubung soal perniagaan mahupun soal hal-ehwal agama pada setiap malam semasa hayatnya yang menjadikannya seorang ayah yang istimewa dan dikenang sehingga kini.

Salah satu peristiwa yang masih terpahat di memori anak sulungnya, Dato’ Mohd. Raihan yang mencerminkan ketaqwaan dan keimanan ayahnya berlaku semasa Dato’ Mohd Raihan dalam usia belasan tahun ketika berlakunya rusuhan kaum 13hb. Mei, 1969. Di waktu itu, Dato’ Mohd. Raihan masih ingat keadaan dimana ibunya yang merasa cemas mengetuk pintu bilik ayahnya berkali-kali yang ketika itu sedang mengerjakan solat Maghrib. Ibunya mengetuk pintu bilik mendesak ayah supaya keluar segera kerana khuatir para perusuh akan pecah masuk ke dalam rumah, namun ayahnya tetap mengerjakan solat sehingga selesai. Sebaik ayah keluar dari bilik beliau meningatkan ibu supaya jangan sekali-kali menggangu ketika dia bersolat dalam apa jua situasi kerana sesungguhnya, Allah sahaja yang melindungi kita dari apa jua musibah dan kepada Allah sahaja yang kita mohon pertolongan dan perlindungan.

Kecintaanya pada ketinggian dan kesucian agama Islam terserlah bila ia sering memilih untuk mengunjungi Masjid-Masjid terlebih dahulu disetiap tempat yang beliau dan keluarga lawati apabila keluar melancung ke luar-negara. Dato’ Seri tidak pernah meninggalkan isteri dan anak-anaknya walaupun untuk semalam. Beliau akan membawa mereka bersama-sama ke mana-mana sahaja walaupun untuk urusan berniaga ke luar-bandar. Kasih sayang yang begitu erat menjadi beliau seorang ayah yang amat akrab dengan semua anak-anaknya.

Dato’ Seri berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa mempertahankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Beliau pernah berkata pada anak-anaknya bahawa dia berdoa kepada Allah SWT supaya dia rela dikembalikan kepada Allah SWT dengan serta-merta daripada menjadi orang yang sesat, kerana tiada yang lebih penting dan berharga selain dari agama yang benar, iaitu agama Islam.

Diantara wasiat Dato’ Seri kepada anak-anaknya ialah sentiasa membuat amal kebajikan dengan membantu fakir miskin dan meneruskan pengagihan beras kepada mereka setiap tahun. Secara ringkasnya, amanat dan wasiat beliau diringkaskan seperti berikut :

* HULURKAN BANTUAN KEPADA MEREKA YANG MISKIN DAN MEMERLUKAN

*JANGAN MEMBURU, MENGURUNG DAN MENYEKSA BINATANG

* BEBASKAN BURUNG-BURUNG DAN MAKHLUK YANG TIDAK BERDOSA

* NASIHATI ORANG LAIN SUPAYA BERHENTI MEMBUAT KEKEJAMAN SEMOGA ANDA JUGA MEMPEROLEHI PAHALA

* SETIAP AMAL PERBUATAN PASTI ADA BALASANNYA

Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad. Eusuff Teh telah kembali kerahmatullah pada 15 Muharram 1425H bersamaan 18hb. March, 2003.

Meskipun selepas ketiadaan beliau, legasi Klinik Homeopathi Dato’ Seri terus beroperasi meneruskan kerja-kerja amal jariah yang dimulakan oleh beliau. Anak-anak dan cucu-cucunya pula menjunjung tinggi amanat dan wasiat Dato’ Seri dalam meneruskan kerja-kerja amal jariah dengan membentuk TABUNG AMAL KEBAJIKAN ALLAHYARHAM DATO’ SERI DR. MOHAMMAD. HJ. EUSUFF TEH bagi melaksanakan kerja-kerja amal kebajikan dengan lebih tersusun sehingga kini.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNYA keatas roh Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad. Eusuff Teh dan menempatkannya di kalangan para solihin dan syuhada’. AL-FATIHAH. Aamiin.

Video:

Sumber: FB Amran Fans, masjidpedashilir.blogspot.com

Sumber “Tak Perlu Berjoget Dengan Bapok, Tak Perlu Heboh-Heboh Buat Rumah Besar Gedabak” - Perkongsian Kisah Jutawan Dermawan Zaitun Yang Patut Kita Contohi

Post a Comment

Previous Post Next Post