'Buata apa nak malu?' - Bandi Amuk



“SAYA boleh membaca al-Quran, cuma dulu belajar tak habis. Saya penat apabila orang asyik bercerita hal dunia kerana dari dulu sehinggalah usia saya sekarang, saya belum khatam al-Quran,” kata penyanyi Bandi Amuk, 55, yang kini aktif mengikuti aktiviti dakwah dan keagamaan termasuk mempelajari semula al-Quran dari bawah.

Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat berkata, dia kini mengikuti kelas al-Quran tiga kali seminggu bermula dari Iqra.

Bandi berkata, dia tidak malu untuk belajar semula al-Quran dari bawah walaupun usianya sudah lebih separuh abad.

“Ketika mula menyertai kelas itu, mereka tanya saya nak bermula dari mana? Saya jawab nak mula dari Iqra semula. Apa nak malu?

“Dulu ketika belajar, makcik yang mengajar saya itu hanya menyapu sampah sambil mendengar kita membacanya. Kemudian dia tegur kita salah baca. Dia boleh tahu yang tajwid saya salah. Itu buat saya ambil keputusan belajar semula,” katanya yang kini menetap di Johor Bahru.



Bandi yang mula belajar sejak setahun lalu mengakui proses pembelajarannya kadang-kadang terhenti apabila dia mendapat tawaran mengadakan persembahan di luar Johor Bahru.

“Kadang-kadang saya terfikir perlu menghabiskannya. Baru-baru ini sebaik tiba di rumah selepas balik dari menjayakan persembahan di Sabah, saya segera bersiap-siap dan pergi belajar kerana ia tanggungjawab. “Saya ada juga mengajak rakan-rakan lain turut serta. Kalau bolehlah dalam usia begini, kita kurangkan cerita hal dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Bandi turut bersyukur kerana anak keempatnya, Muhammad Saiful Affique, 22, sudah pulih daripada masalah ketumbuhan di bahagian belakang paru-paru.

“Alhamdulillah Tuhan permudahkan urusannya dan dia baru selesai belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan Komunikasi Massa dan sedang tunggu keputusan diploma.

“Dia berhasrat untuk sambung ambil ijazah sarjana muda dan kini belajar sementara. Berkat doa kawan-kawan dan semua, syukurlah kesihatannya makin baik.


“Saya sekarang jaga pemakanan serta minumannya. Begitu juga makanan tambahan kerana ia perlu diambil oleh anak saya,” katanya.

Sementara itu, Bandi bersama kumpulan FTG dan Sil Khannaz akan terbabit dalam Konsert Rockstage V (Dominasi King Barbarik) yang akan berlangsung di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur pada 2 Mac ini. Persembahannya akan diiringi pemuzik profesional iaitu Yan Lefthanded, Shahrul Ekamatra, Kid Search dan A Tonk DGC.

Sumber : harian metro

Sumber 'Buata apa nak malu?' - Bandi Amuk

Post a Comment

Previous Post Next Post