KIRA-KIRA sedekad lalu, tiada siapa sangka akan wujud satu kerjaya yang digelar Instafamous yang mampu menjana pendapatan lumayan hanya dengan menjadi figura popular di media sosial.
Gaya hidup trendy yang dipamerkan golongan Instafamous ini juga menjadi ikutan generasi baharu kerana mereka memiliki pengaruh kuat di media sosial.
Maka, tidak hairanlah jika Instafamous menjadi pilihan jenama perniagaan lokal dan antarabangsa sebagai medan untuk mempromosikan produk mereka.
Baru-baru ini, perkongsian oleh seorang pengguna media sosial tentang nilai rate card atau iklan berbayar yang dikenakan oleh Instafamous di Malaysia menjadi tular di Twitter.
Bebenang terbuka yang dimuat naik pada Isnin itu berbunyi: “Balas bebenang ini dengan harga iklan berbayar geng-geng yang digelar Instafamous ini.
“Sertakan juga maklum balas, berbaloi atau tidak buat iklan berbayar dengan mereka atau analisis terhadap akaun mereka (contohnya, pengikut, impresi dan lain-lain).
“Supaya kita boleh simpulkan, berbaloi atau tidak buat iklan berbayar dengan mereka.”
Hantaran tersebut meraih reaksi yang menggalakkan daripada netizen dan mendapat lebih 6,200 ulang kicau serta lebih 4,800 tanda suka.
Namun, apa yang mengejutkan adalah harga yang diletakkan oleh beberapa personaliti media sosial mencecah ribuan ringgit bagi sekeping gambar advertorial yang dimuat naik ke akaun peribadi mereka.
Sementara itu, seorang Instafamous yang popular dengan video-video ulasan makanan didakwa mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang ingin menampilkan tunangnya dalam perkhidmatan iklan berbayar tersebut.
Bagaimanapun, bebenang itu menjadi semakin kontroversi selepas seorang Instafamous berhijab berang apabila rate card yang diberikan kepada pelanggan telah dikongsikan secara terbuka.
Adakah anda tahu, ini adalah maklumat sulit dan pihak pengurusan boleh mengambil tindakan ke atas anda.
Personaliti yang memiliki lebih 424,000 pengikut di Instagram itu memberi amaran bahawa individu yang memuat naik sebut harga tersebut berdepan tindakan undang-undang daripada syarikatnya.
“Hey, dah minta izin pengurus saya (orang yang menghantar sebut harga) ke untuk anda kongsi kepada umum?
“Adakah anda tahu, ini adalah maklumat sulit dan pihak pengurusan boleh mengambil tindakan ke atas anda. Cuma mahu ucap minta maaf kerana syarikat saya akan menyaman anda dan kini mereka sedang melakukannya.
“Saya minta maaf dan terima kasih kerana mendedahkan maklumat sulit sebut harga saya. Semoga anda menjalani hari yang indah.”
Isu tersebut menjadi semakin sensasi apabila rata-rata netizen beranggapan ugutan tersebut tidak berasas kerana harga perkhidmatan bukanlah rahsia perniagaan.
Dalam pada itu, Instafamous dan model sambilan @Syazlinzainal tidak menafikan pengguna berhak mengetahui rate card personaliti media sosial atau influencer, tetapi tindakan pelayar Twitter tersebut menulis posting seperti itu akan menjejaskan imej dan mendorong netizen bertelagah.
"Saya tidak setuju apabila mendedahkan rate card secara terbuka itu dengan meletakkan kenyataan sebegini (tweet). Buat bebenang dan mengajak ramai-ramai untuk tunjuk rate card dan simpulkan sama ada ia berbaloi atau tidak.
"Memang mereka ada hak, tapi cara itu mungkin akan menjejaskan imej dan mendorong segelintir masyarakat berbalah. Selain itu, ia turut membuatkan anak muda terutama pelajar sekolah untuk terpengaruh 'membuat kerja' mengulas produk dan sebagainya berbanding menumpukan pelajaran di sekolah," ujarnya yang memiliki lebih 117,000 pengikut di Instagram itu.
Manakala, Instafamous @Syifamajid yang mempunyai lebih 108,000 pengikut di Instagram pula berkata, biarpun namanya tidak dikaitkan dengan posting itu, dia berterima kasih kepada pihak yang membangkitkan isu berkenaan.
Syifa mengakui sebelum ini dia juga tidak mengetahui bahawa sebarang perniagaan yang ditawarkan termasuk promosi berbayar di platform digital harus dipamerkan.
"Mungkin Instafamous itu tidak tahu bahawa dia perlu memaparkan 'rate card' jika menawarkan perkhidmatan iklan berbayar di media sosial. Saya sendiri baru tahu mengenai perkara ini.
"Jika ia memang tertakluk kepada undang-undang, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah mematuhinya. Kerjaya Instafamous ini adalah satu pekerjaan baharu, mungkin sebab itulah tidak ramai yang tahu," jelasnya.
Pengguna media sosial turut mencadangkan supaya golongan Instafamous yang tidak memaparkan harga perkhidmatan mereka agar dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), selain perlu dikenakan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sama seperti pembayar cukai yang lain.
Sumber dari mStar Online
Sumber Instafamous melenting dan bengang apabila netizen tergamak dedah ‘rate card’ tanpa izin
Tags:
mazeer