'Restoran saya diboikot tanpa kehadiran seorang pun pelanggan muslim'



KULAI: “Ini satu ujian Allah kepada saya,” kata Abul Barakath Khanifah, 44, pemilik Restoran Prata Maju di Bandar Putra, mengenai video berdurasi 49 saat yang tular dan memamparkan seorang lelaki memegang objek berapi di restorannya, baru-baru ini.

Abul Barakath berkata, video itu memberi kesan kepada perniagaannya termasuk ‘diboikot’ pelanggan Muslim sejak lima hari lalu.

“Kesan tular video itu menyebabkan lima hari restoran ini kosong tanpa kehadiran seorang pun pelanggan Muslim.

“Semua ini disebabkan perbuatan seorang pekerja yang melakukan perkara bertentangan ajaran Islam tanpa pengetahuan kami. Ketika itu, saya tiada selama tiga hari kerana menyertai ijtima’ jemaah tabligh di India,” katanya yang meluahkan perasaan kecewanya berikutan tindakan pekerjanya itu.

Katanya, niatnya memberikan pekerjaan untuk membantu lelaki berkenaan, namun sebaliknya berlaku apabila restoran dan dirinya pula diaibkan.



“Saya mempunyai lima pekerja dan hanya dia seorang sahaja beragama Hindu, bertugas sebagai pekerja pembersihan kedai manakala tugas memasak diserahkan kepada pekerja Melayu iaitu Kak Hamidah,” katanya.

Menurutnya bagi mengelak salah faham pelanggan Muslim dan membolehkan empat pekerjanya yang lain terus mencari rezeki, dia terpaksa memberhentikan pekerja yang melakukan upacara keagamaan di dalam video berkenaan.

Katanya, dia juga mengharapkan orang ramai menghentikan penyebaran video berkenaan dan memfitnah dirinya, keluarga serta pekerja Islam yang mencari rezeki halal sejak 17 tahun lalu bersama isteri, Syedha Begam Gani, 39.

Video berkenaan memperlihatkan seorang lelaki berjalan tanpa selipar sambil membawa api melalui pagar besi tertera perkataan Prata Maju sebelum satu aktiviti keagamaan di restoran berkenaan.

Sumber : harian metro

Sumber 'Restoran saya diboikot tanpa kehadiran seorang pun pelanggan muslim'

Post a Comment

Previous Post Next Post