PEMILIK treler yang terbalik dalam kemalangan di Kampung Tawang, Bachok terpaksa membayar kos kerugian RM120,000 selepas barangan itu diambil oleh orang ramai.
Azizan Zainuddin, 57, berkata, treler itu dipandu anaknya, Mohd Baihaki, 25, dan mereka hanya mengambil upah menghantar bekalan susu tin itu dari Klang, Selangor ke gudang di Pengkalan Chepa.
“Daripada 1,500 karton susu, anak dan pekerja hanya sempat ambil 149 karton dan 11 tin susu saja. Bayangkan berapa banyak saya rugi jika orang ramai tidak pulangkan kepada saya,” katanya.
Azizan berkata, dia kecewa dengan tindakan orang ramai yang mengambil susu-susu tersebut tanpa kebenaran termasuk ada yang sanggup menyamar sebagai ‘tauke’ demi menghalalkan perbuatan mereka.
Bagaimanapun, dia merayu agar orang ramai memulangkan semula susu yang diambil untuk memudahkan urusannya dengan pemilik barangan itu
“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.
“Setakat hari ini, dua penduduk kampung sudah hantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok semalam.
Akhbar hari ini melaporkan, orang ramai mengutip susu dari sebuah treler yang terbalik semalam.
Satu rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan penduduk mengutip susu tular di Facebook dan WhatsApp yang mendapat lebih 34,000 tontonan.
Sumber ‘Saya Merayu tolonglah pulangkan kalau tak saya terpaksa bayar RM120,000’ – Pemilik treler susu
Tags:
mazeer