1:48:00 PM

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Perpecahan yang didakwa berlaku dalam PKR ketika ini menjadi antara alasan mengapa jawatan Perdana Menteri dirasakan tidak sesuai diberikan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu merupakan reaksi Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Sazmi Miah yang merujuk kata-kata Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali berhubung komitmen Perdana Menteri daripada Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penyerahan jawatannya kepada Anwar.

“Dengan perpecahan dalaman yang ketara dalam PKR sekarang, memang tidak wajar jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Anwar, ini diketahui umum, bukan sekadar khabar angin,” katanya yang dipetik daripada laporan Free Malaysia Today hari ini.

Hubungan antara kem Bersatu dan PKR dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat semakin tidak rapat selepas dianggap Dr. Mahathir mungkin tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Hal demikian diperkuatkan lagi apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri nampak menyokong kuat Dr. Mahathir supaya kekal sebagai Perdana Menteri selama satu penggal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Berdasarkan perjanjian sebelum ini yang didakwa berlaku, Dr. Mahathir dijangka menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar pada Mei 2020 iaitu genap dua tahun PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Disebabkan beberapa kenyataan Dr. Mahathir yang dilihat tidak ingin menyerahkan jawatan tersebut, beberapa pemimpin PKR tanpa berselindung mempertikaikan Pengerusi PH tersebut.

Namun bagi Sazmi, sebagai pemimpin dan negarawan ulung, semestinya Dr. Mahathir mengambil kira pelbagai aspek dan situasi semasa jika mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada sesiapa.

“Ini bukan calang-calang jawatan, bukan hendak melantik penghulu atau penggawa kampung, ianya perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Sazmi berkata, pemimpin PKR yang mahu Anwar menjadi Perdana Menteri sepatutnya menunggu sehingga dua tahun, bukannya melabelkan Dr. Mahathir sebagai individu tidak boleh dipercayai.

“Mereka agak gelisah, sememangnya menunjukkan mereka kurang sabar dan seperti takut kepada bayang-bayang sendiri, belum pun tiba tarikh sebenar yang mereka war-warkan kononnya dua tahun (untuk serah jawatan) tapi sekarang sudah beria menuntut janji.

“Jadi, untuk melabel (Dr. Mahathir tidak boleh dipercayai) itu kenalah sampai masa baru boleh cakap,” katanya dalam laporan portal itu lagi.

Sazmi juga bimbang sikap ‘celupar’ sesetengah pemimpin PKR mendesak Dr. Mahathir menyerahkan jawatan kuasa kepada Presiden PKR itu akan menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan.

“Dengan melabelkan Perdana Menteri tidak boleh dipercayai dan tidak boleh pegang janji, ia satu tuduhan yang serius, tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin parti, apatah lagi seseorang yang berkaliber seperti Syed Husin.

“Sudah tentu ia akan mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam Bersatu, ianya umpama kita beri pandangan Anwar tidak layak dilantik Perdana Menteri kerana beliau adalah bekas banduan, tetapi kita tidaklah sampai tahap nak kata begitu,” katanya.

Beliau yakin Dr. Mahathir akan membuat keputusan apabila sampai masanya dan Bersatu Kelantan menyokong penuh Pengerusi parti terus mentadbir negara sehingga PRU-15.

Sumber: Utusan Online


sumber Sehinggit Media News

0 comments:

Post a Comment

loading...