Sumbat Kucing Bunting Dalam Mesin Pengering, Lelaki Dipenjara 34 Bulan, Denda RM40,000


Mahkamah Sesyen Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 ke atas pekerja kontrak yang membunuh kucing bunting dalam mesin pengering pakaian, pada September 2018. 

Hakim Rasyihah Ghazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap K Ganesh, 42, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh. 

Tertuduh diarahkan menjalani hukuman itu hari ini dan jika gagal membayar denda tersebut, tambahan penjara empat bulan lagi akan dikenakan. 

"Mahkamah mengambil kira tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian dan bertindak mengunci haiwan itu ketika kejadian. 

"Hukuman yang diberikan ini diharap dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi haiwan," katanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. 


Terdahulu, Peguam S Muthuveeran memohon mahkamah mengurangkan hukuman itu atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun. Malah dia perlu menjaga bapanya yang berusia 69 tahun, juga merupakan OKU.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd memohon hukuman berat dikenakan kerana tertuduh tidak menghormati nyawa haiwan selain kuching langsung tidak mendatangkan apa-apa bentuk ancaman keselamatan kepada tertuduh.

"Untuk rekod, kucing yang juga spesis domestik ada hak untuk hidup," katanya. 

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jaminan daripada RM12,000 kepada RM20,000 serta rayuan difailkan sebelum atau pada 12 November ini.

Dalam kejadian pada 11 September 2018 jam 1 pagi, di premis Dobi Queen Self Service Laundry Taman Gombak Ria, Batu Caves, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga individu termasuk tertuduh memasukkan kucing betina yang bunting itu ke dalam mesin pengering yang menyebabkan kematian haiwan itu. 

Perbuatan mereka itu kemudian viral di media sosial dan mengundang kemarahan ramai dan aktivis-aktivis haiwan bertindak membuat laporan polis. 

Pada 17 Januari lalu, rakan tertuduh, A Mohanraj, 42, pemandu teksi dipenjara dua tahun selepas menukar pengakuan bersalah atas kesalahan sama dan seorang lagi lelaki, SS Satthiya, 26, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Sumber: Harian Metro via The Reporter


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post