Terengganu Catat Keputusan Cemerlang SPM 2019


KUALA NERUS - Terengganu mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan mencapai nilai gred purata negeri 4.69 iaitu meningkat 0.21 berbanding 4.90 pada 2018.

Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab Ghani berkata, pencapaian itu merupakan rekod baharu yang dilakar dalam peperiksaan itu di negeri ini.

Katanya, pencapaian semua A bagi mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan kepada 1.71 peratus (293 calon) berbanding 1.58 peratus (276) pada 2018 dan (275) pada 2017.

"Berdasarkan pencapaian keseluruhan terdapat peningkatan 5.96 peratus calon lulus semua mata pelajaran iaitu seramai 10,510 berbanding 9,644 pada 2018.


"Sebanyak lima buah sekolah lulus 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit dan SM Sains Dungun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman keputusan SPM 2019 di SM Sultan Mahmud di sini hari ini.

Selain itu, katanya pencapaian SPM 2019 turut menyaksikan sekolah luar bandar merekodkan keputusan cemerlang.

Katanya, sekolah luar bandar, SM Cherul, Kemaman tersenarai dalam sekolah semua A terbaik dengan peratusan 13.64 peratus.

"SMK Cherul mencatatkan peningkatan GPS (Gred Purata Sekolah) terbaik kepada 4.21 berbanding 5.65 pada 2018.

"Selain itu, sekolah berkenaan juga mencatatkan peningkatan semua A terbaik kepada 13.64 peratus dalam peperiksaan tahun lalu di mana ia adalah rekod baharu yang dicatat sekolah itu," katanya.

Salim berkata, seorang calon dari SM Chukai, Kemaman iaitu Mohamad Shafiq Akram Shafee mendapat semua A+ dalam peperiksaan itu manakala seorang calon berkeperluan khas (CBK) yang menghidap autisme iaitu Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff dari SMK Panji Alam mendapat 7A.

Sumber: Sinar Harian


sumber Sehinggit Media News

Post a Comment

Previous Post Next Post